Home Semasa PLKN 3.0 akan bermula pertengahan tahun depan – Khaled Nordin

PLKN 3.0 akan bermula pertengahan tahun depan – Khaled Nordin

by Zulhaizi Rosdi

KUALA LUMPUR, 10 JUL – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 melibatkan pelajar tingkatan 4 dengan sasaran penyertaan seramai 1000 peserta di 2 kem wataniah, dijangka bermula pada bulan Jun atau Julai tahun depan.

Kementerian Pertahanan berkata, bagi Fasa Pra PLKN di peringkat sekolah melibatkan pelajar tingakatan 4 akan dilaksanakan bersama dengan ketetapan pelaksanaan modul GenMadani oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Bagi Fasa PLKN Asas melibatkan peserta 17 tahun dan ke atas di Kem-Kem Askar Wataniah selama 45 hari, ia dijangka akan dimulakan pada April 2026.

“Manakala, bagi Fasa PLKN Asas di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan bermula pada pengambilan pelajar sesi Akademik 2026/2027,” katanya di Parlimen pada Rabu.

Ujarnya, kerajaan telah bersetuju supaya Kementerian Pertahanan melaksanakan semula PLKN dengan konsep dan format baharu.

“Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan KPM telah menyediakan dan merangka modul latihan secara berfasa.

“PLKN akan diperkenalkan di peringkat sekolah (Fasa Pra PLKN) sebagai persiapan menjalani latihan khidmat negara selepas berusia 17 tahun dan program ini akan melibatkan pelajar di Tingkatan 4 sahaja semasa kegiatan ko-kurikulum,” katanya.

Tambahnya lagi, pada fasa seterusnya, remaja yang berusia 17 tahun dan ke atas akan dipilih untuk menjalani latihan asas di 13 buah kem Askar Wataniah di seluruh negara, 20 buah universiti awam, dan beberapa politeknik.

“Fasa latihan asas ini merangkumi pengisian latihan yang terdiri daripada modul asas kenegaraan sebanyak 30 peratus dan latihan asas ketenteraan sebanyak 70 peratus.

“Modul Asas Kenegaraan dibangunkan oleh KPT, mengandungi Modul Kenegaraan Elemen Jati Diri, Modul Kenegaraan Elemen Cinta Negara, dan Modul Kenegaraan Elemen Perpaduan,” jelasnya.

Manakala, Asas Ketenteraan pula dibangunkan oleh Kementerian Pertahanan yang berkonsepkan pembelajaran melalui pengalaman serta latihan berkumpulan.

“Pelatih akan dilatih untuk mempraktikkan budaya kehidupan tentera seperti disiplin, ketepatan masa, tersusun (organised), dan mandiri (independent).

“Pelatih PLKN juga diberi peluang untuk menjalani latihan lanjutan (Fasa Latihan Lanjutan) mengikut bidang yang mereka minati,” katanya. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #PLKN

Related Articles

Leave a Reply