KUALA LUMPUR, 14 Mac – Kerajaan dicadangkan untuk menyediakan satu Kertas Putih Industri Padi dan Beras bagi memperhalusi pelbagai isu yang mengganggu kelestarian sektor tersebut.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah ini penting untuk menilai secara menyeluruh isu-isu dalam industri padi dan beras, melibatkan setiap rantaian ekosistem serta penglibatan pelbagai agensi kerajaan berkaitan.
“Isu dalam industri beras dan padi ini perlu diselesaikan secara menyeluruh melibatkan setiap rantaian ekosistem padi dan beras serta penglibatan pelbagai agensi kerajaan berkaitan,
“Dalam hal ini saya mencadangkan agar kerajaan menyediakan satu Kertas Putih Industri Padi dan Beras bagi memperhalusi pelbagai isu langsung dan tidak langsung yang mengganggu kelestarian industri berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut mencadangkan agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat elemen ketirisan serta jenayah perdagangan sehingga mencetuskan krisis serta keresahan dalam kalangan petani dan rakyat Malaysia.
Menurutnya, beliau ada bertemu dengan wakil Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) yang membangkitkan pelbagai isu.
Antaranya peningkatan kos input seperti benih, baja dan racun tidak berkualiti, kos perkhidmatan mesin dan jentera serta isu monopoli.
Sehubungan itu, jelasnya, petani juga mahu harga lantai padi ditingkatkan kepada RM1,800 daripada RM1,300 per tan metrik yang baharu saja dinaikkan, bulan lalu.
Muhyiddin sebelum ini, pada 13 Februari lalu, telah menggesa kerajaan mewujudkan Kertas Putih Industri Padi dan Beras dalam perbahasan di Dewan Rakyat sebagai langkah ke arah penyelesaian yang lebih komprehensif terhadap isu berkenaan.
Sebelum ini, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melaporkan bahawa kira-kira 40% hingga 50% Benih Padi Sah (BPS) daripada 5,000 sampel yang dianalisisnya telah bercampur dengan Benih Padi Tidak Sah (BPT), yang dipercayai berlaku di peringkat pengilangan apabila petani menggunakan benih tempatan.-airtimes.my
#semasa #beras #padi #Malaysia #RCI #mardi #airtimes