Home Pertahanan dan KeselamatanTentera UdaraOperasi pesawat Hornet TUDM digantung sementara untuk siasatan

Operasi pesawat Hornet TUDM digantung sementara untuk siasatan

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUANTAN, 22 Ogos – Semua operasi melibatkan pesawat F/A-18D Hornet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) digantung sementara berkuat kuasa hari ini susulan insiden kemalangan di Pangkalan Udara Kuantan malam tadi.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada lembaga siasatan menjalankan siasatan terperinci terhadap nahas berkenaan.

“TUDM telah menubuhkan sebuah lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan siasatan telah bermula hari ini,

“Pasukan penyiasat akan memulakan tugas hari ini dan memberikan laporan awal secepat mungkin… secara kebiasaannya, laporan penuh dapat disiapkan dalam tempoh tidak lebih 14 hari,” katanya seperti dilapor Bernama.

Muhamad Norazlan berkata, Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (Pangkalan Udara Kuantan) ditutup bagi melaksanakan operasi ‘Mega Sweep’ untuk membersihkan kawasan sekitar insiden berkenaan.

“Pagi tadi kita telah mulakan Mega Sweep, iaitu kita tempatkan anggota di seluruh kawasan untuk melalui dan meneliti setiap inci landasan. Jika ada bahan asing, kita akan kutip bagi memastikan kawasan benar-benar bersih,” ujarnya.

Tambahnya, hasil daripada operasi itu, pihaknya akan mengesahkan status keselamatan landasan berkenaan untuk kembali beroperasi pada tengah hari ini.

Menurut beliau, siasatan akan meneliti semua aspek, termasuk rakaman video tular yang menunjukkan detik insiden, kemungkinan berlaku serangan burung, kewujudan objek asing di landasan atau kegagalan enjin pesawat.

“Pesawat ini dilengkapi sistem pengumpul data seumpama black box. Data itu akan dipaparkan semula bagi mengenal pasti punca kemalangan,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Norazlan mengesahkan juruterbang dan jurusensor senjata sempat melaksanakan prosedur kecemasan dengan keluar menggunakan kerusi lontar (eject) sebelum pesawat terhempas.

Menurutnya, Juruterbang, Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, mengalami kecederaan belakang serta melecur ringan di tumit kiri, manakala Jurusensor Senjata, Kapten Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh, 28, hanya mengalami lebam di beberapa bahagian badan.

“Kedua-dua mereka sebelum ini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan telah dibenarkan keluar pada pukul 2 pagi tadi. Kini mereka berehat di Rumah Sakit Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” jelasnya lagi.

Semalam, TUDM mengesahkan pesawat pesawat F/A-18D Hornet mengalami kemalangan di Pangkalan Udara Kuantan pada pukul 9.05 di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (LPSAS), malam tadi.

Semalam, TUDM mengesahkan sebuah pesawat F/A-18D Hornet mengalami kemalangan kira-kira jam 9.05 malam ketika menjalani latihan rutin di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, dipercayai akibat masalah teknikal sehingga tergelincir.-airtimes.my

#TUDM #pesawat #kemalangan #airtimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply