LABUAN, 4 APRIL – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakar sejarah baru apabila berjaya melaksanakan ujian penerbangan pertama pesawat tanpa pemandu ANKA-THS di Pangkalan Udara Labuan, semalam.
Ujian penerbangan selama tiga jam itu dilaksanakan oleh No 11 Skuadron sebagai sebahagian daripada persediaan sebelum aset baharu tersebut diserahkan secara rasmi kepada TUDM.
Kejayaan ini dilihat sebagai langkah awal dalam memperkukuh keupayaan operasi udara negara, khususnya dalam domain pengawasan strategik.
TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan, kejayaan penerbangan sulung itu adalah hasil kerjasama dan koordinasi pelbagai pihak termasuk Markas Pemerintahan Operasi Udara, Markas Wilayah Udara 2, MTU Perancangan dan Pembangunan serta Pangkalan Udara Labuan.
Turut terlibat ialah agensi awam seperti Civil Aviation Authority of Malaysia, Bahagian Geospatial Pertahanan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Jabatan Meteorologi Malaysia.
Sistem pesawat ANKA-THS yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries dijangka meningkatkan keupayaan Intelligence, Surveillance, Target Acquisition and Reconnaissance (ISTAR) TUDM, terutamanya dalam melaksanakan pemantauan di Wilayah Timur dan kawasan strategik seperti Laut China Selatan.
Pesawat tanpa pemandu itu berupaya melaksanakan misi pemantauan dalam pelbagai keadaan cuaca, sama ada siang atau malam, dengan tempoh penerbangan melebihi 20 jam.
Keupayaan ini membolehkan pemantauan berterusan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tepat.
ANKA-THS merupakan sebahagian daripada Fasa 1 Pelan Perolehan Strategik Pertahanan Negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, selain selari dengan pelan pembangunan keupayaan TUDM melalui program CAP55.
Perolehan aset baharu ini dijangka memperkukuh keupayaan TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan operasi pengawasan maritim serta pengumpulan maklumat perisikan, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan dan kedaulatan negara. –airtimes.my
