Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia miliki keupayaan kesan ejen asing, ancaman serius terhadap keselamatan negara

Malaysia miliki keupayaan kesan ejen asing, ancaman serius terhadap keselamatan negara

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Aktiviti pengintipan oleh ejen asing dianggap sebagai potensi ancaman serius terhadap keselamatan dan kedaulatan negara, khususnya dalam landskap geopolitik semasa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa Malaysia mempunyai keupayaan yang baik dalam mengesan kegiatan tersebut, walaupun ia dilakukan secara sulit dan sukar dikesan secara terbuka.

“Apakah kita tahu kehadiran ejen pengintip ini? Kita tak tahu. Sebab itu saya sebut modus operandi aktiviti pengintipan ini sifatnya sangat rahsia dan sulit,

“Kita punya sejarah lama dan baru dalam mengesan aktiviti pengintipan. Apa yang jelas ianya satu potensi ancaman yang sangat serius terutama dalam geopolitik negara kita sekarang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) mengenai sejauh mana ancaman ejen asing memberi kesan terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.

Saifuddin turut memberi contoh bagaimana pendirian tegas negara dalam isu antarabangsa boleh menjadikan Malaysia sasaran pihak luar.

“Boleh jadi dalam ketegasan Tambun (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam isu Gaza misalnya, kuat mengkritik negara terbabit, kemudian di negara kita ada sejumlah NGO (badan bukan kerajaan) yang aktif memperjuang isu itu, oleh itu negara kita boleh jadi sasaran bagi Israel umpamanya,” jelas beliau.

Menurutnya, ancaman itu tidak terhad kepada aspek politik semata-mata, sebaliknya turut berpotensi menyusup dalam bidang ekonomi dan ketenteraan.

Terdahulu, Saifuddin mengambil contoh satu kes pengintipan yang berlaku di Malaysia pada 28 Sept 2022, melibatkan seorang wanita tempatan Nidarahayu Zainal.

Beliau berkata mangsa direkrut oleh agensi perisikan Israel Mossad untuk menculik dua warga Palestin di Malaysia.

“Nidarahayu yang hanya berkelulusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan mempunyai tiga anak, direkrut untuk menculik…Kita dapat selamatkan dua lelaki Palestin ini dan Nidarahayu ditangkap dan sekarang, sedang dibicarakan,

“Ini satu contoh bagaimana modus operandi pengintipan dibuat untuk tujuan politik,” ujarnya.

Sehubungan itu, bagi mengekang ancaman berkenaan, beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah melaksanakan pendekatan tiga peringkat meliputi pencegahan, pengesanan dan penguatkuasaan.-airtimes.my

#keselamatan #airtimes #Malaysia #agenasing #pengintipan

 

Leave a Reply