KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Kementerian Pertahanan (MINDEF) membuka semula tender penyewaan empat buah helikopter untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat Malaysia (PUTD), selepas pembatalan kontrak terdahulu pada November tahun lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tender baharu itu akan ditutup pada September dan melibatkan penilaian menyeluruh merangkumi jenis helikopter, usia aset, harga sewaan, jangka hayat operasi serta tahap keselamatan penerbangan sebelum keputusan dibuat.
“Tender untuk penyewaan empat buah helikopter bagi penggunaan Tentera Darat sudah dibuka dan kita akan tengok masa penilaian, supaya kita ambil kira pandangan-pandangan yang telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya seperti dilapor Bernama.
November tahun lepas, MINDEF telah mengeluarkan notis pembatalan kontrak sewaan 4 helikopter Black Hawk kepada syarikat kontraktor selepas kegagalan pihak terbabit membekalkan helikopter berkenaan untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Mohamed Khaled berkata, kementerian telah mengambil tindakan tegas dengan mengenakan penalti serta menarik balik wang jaminan yang telah diserahkan daripada syarikat berkenaan.
Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah supaya cadangan pembelian helikopter Black Hawk berusia lebih 30 tahun dibatalkan, mengambil kira faktor usia dan tahap keselamatan pesawat terbabit yang dikhuatiri boleh mengancam nyawa juruterbang.
Baginda yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengingatkan supaya kesilapan lalu tidak diulangi.
“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara second-hand. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? Awak fikirlah sendiri,” titah baginda.-airtimes.my
#pertahanan #aset #perolehan #ATM #TDM #Malaysia #Mindef #airtimes
