Home Pertahanan dan KeselamatanTentera DaratAdakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? – Agong

Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? – Agong

by Nurulhuda
A+A-
Reset

MERSING, 16 Ogos – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah agar Kementerian Pertahanan (MINDEF) membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang sudah berusia lebih 30 tahun.

Baginda yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengingatkan supaya kesilapan lalu tidak diulangi.

“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara second-hand. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? Awak fikirlah sendiri,

“Saya percaya ini semua berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan agen atau bekas jeneral yang menjadi salesman, malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual dron,

“Kalau semua pembelian kena ikut harga orang tengah, maka peruntukan yang ada tidak akan cukup. Oleh itu, jangan cuba nak temberang saya. Jika tidak mahu dengar cakap saya, selepas ini saya tidak akan menegur lagi,” titah baginda sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini mengingatkan Kementerian Pertahanan supaya tidak mengulangi kesilapan lalu dalam pembelian aset ketenteraan, khususnya pesawat terpakai yang boleh mengancam nyawa juruterbang dan anggota tentera.

Baginda juga bertitah agar pihak kerajaan supaya memberi keutamaan yang lebih kepada peningkatan tahap kesiapsiagaan Rejimen Gerak Khas dalam perolehan peralatan baru.

“Namun begitu, suka saya ingatkan kepada semua pihak yang terlibat dengan perolehan aset tentera, supaya buat pembelian dan penilaian dengan betul, mengikut harga pasaran dan kehendak pengguna; bukan ikut cakap agen sahaja,

“Jangan buang masa beli barang yang merepek dan tidak sesuai dengan keperluan tentera. Kalau tidak tahu harga, tanya saya dahulu,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut bertitah pernah memberi teguran pada lima tahun lalu berhubung pembelian bot Rigid Riding Craft (RRC) untuk komando pada harga RM5 juta, sedangkan bot yang lebih baik boleh diperoleh bawah RM2 juta.

“Baru-baru ini pula, saya dapat tahu ada cadangan untuk beli lagi bot yang sama tetapi saiz yang besar sedikit, dengan harga hampir RM10. Ini semua tidak masuk akal dan harus diteliti betul-betul.

“Selain daripada harga, kualiti barang yang dibeli juga perlu diutamakan. Apa sudah jadi dengan kolam selam tempur di kem ini yang sepatutnya siap pada 2022, tetapi sehingga kini masih belum boleh digunakan,” titah baginda.

Pada Mac lalu, MINDEF merancang membuka semula tender bagi kontrak sewaan helikopter Black Hawk jenis UH-60 untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) selepas syarikat yang dilantik sebelum ini, Aerotree Defence and Services Sdn Bhd, gagal membuat penghantaran mengikut jadual ditetapkan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, berkata beberapa syarikat telah mengemukakan kertas cadangan untuk membekalkan helikopter berkenaan.

“Buat masa ini, parameter projek kekal dengan nilai sekitar RM200 juta bagi sewaan empat helikopter untuk tempoh lima tahun.

“TDM masih membuka ruang kepada mana-mana pihak yang berminat dan berkemampuan untuk menyertai projek ini,” katanya. -airtimes.my

Baginda percaya MINDEF penuh dengan ejen atau bekas jeneral yang jadi ‘salesman’

#pertahanan #airtimes #GGK #GerakKhas #komando #aset

 

Related Articles

Leave a Reply