Home SemasaVendor utama: Jalan pintas atau perangkap dalam perolehan pertahanan?

Vendor utama: Jalan pintas atau perangkap dalam perolehan pertahanan?

by Suraya Aziz
A+A-
Reset

Dalam dunia ketenteraan moden, kebergantungan kepada vendor utama atau prime contractor telah menjadi norma dalam kebanyakan sistem perolehan pertahanan. Gagasan di sebaliknya kononnya mudah, dimana satu syarikat dipertanggungjawabkan untuk membekal, menyelaras dan menyelenggara aset strategik negara. Kononnya untuk mempercepat serta mengurangkan kerumitan urus tadbir antara pelbagai kontraktor.

Realitinya, apabila satu entiti memegang semua kuasa dari pengilangan, penghantaran, penyelenggaraan hingga ke latihan, ia membuka pintu kepada dominasi pasaran, rundingan berat sebelah, serta kelemahan dalam penguatkuasaan kontrak. Di sinilah kita berhadapan masalah sama iaitu kebergantungan mutlak.

Dominasi pasaran dan implikasi kebergantungan

Umum mengetahui, vendor utama memegang kuasa besar dalam ekosistem perolehan. Mereka bukan sekadar pembekal, malah juga menjadi penjaga spesifikasi, penyelaras teknologi dan perantara antara kerajaan dengan rangkaian pengilang antarabangsa. Dalam situasi tertentu, kedudukan ini menjadikan mereka terlalu besar untuk gagal atau terlalu berpengaruh untuk ditegur. Namun, inilah yang berlaku dalam beberapa projek mega negara.

Gagal disiapkan, lewat dihantar, penalti dirunding semula, dan aset strategik terus tergantung tanpa tarikh pasti. Maka setiap kegagalan akan ditampung oleh kerajaan dan dengan sendirinya oleh rakyat melalui kutipan cukai. 

Di peringkat global, banyak negara telah berdepan realiti vendor utama yang gagal mematuhi jadual penghantaran, namun tetap menerima bayaran penuh. Ada juga yang menangguhkan penyelenggaraan tanpa penalti setimpal, atau berjaya merundingkan semula denda hingga ke paras minimum. Sebagai contoh, di United Kingdom (UK), program Morpheus dan kapal selam Dreadnought dikritik kerana terlalu banyak kelonggaran diberi kepada vendor utama sehingga menjejaskan ketelusan. Manakala Australia pula terpaksa menguburkan hasrat memiliki kapal selam Attack-class bernilai lebih AUD90 bilion selepas vendor utama gagal menepati jadual.

Malaysia tidak terkecuali daripada fenomena ini. Laporan Ketua Audit Negara 2/2025 mendedahkan vendor utama dalam projek kenderaan perisai GEMPITA untuk Tentera Darat Malaysia (TDM) bukan sahaja gagal menghantar aset mengikut jadual, malah kelewatan pembekalan sehingga 1,048 hari tidak diiringi dengan tindakan penalti yang tegas. Walaupun kontrak menyatakan kadar denda boleh dikenakan sehingga ratusan juta ringgit, rundingan berlarutan antara kementerian, pembekal dan agensi teknikal menjadikan penguatkuasaan menjadi lambat dan tidak tuntas. Lebih membimbangkan, bayaran penuh telahpun dibuat, manakala nilai bon jaminan pula jauh lebih rendah daripada denda yang tertunggak.


Kenderaan berperisai 8×8, AV8 Gempita buatan anak tempatan yang digunakan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) FOTO: DEFTECH


Kelemahan penguatkuasaan dan akauntabiliti kontrak

Masalah utama bukan hanya pada kelewatan. Audit turut menegur, Notis Tuntutan Penalti hanya dikeluarkan hampir dua tahun selepas kontrak tamat, dan rundingan pengurangan penalti kini memberi ruang kepada vendor untuk mencadangkan pengurangan drastik, daripada RM162 juta kepada hanya RM4.27 juta. Ini memperlihatkan satu corak yang membimbangkan. Apabila vendor utama terlalu dominan, kerajaan hilang posisi tawar-menawar (bargaining position) yang seimbang.

Lebih merisaukan ialah hakikat bahawa GEMPITA bukan sekadar produk komersial. Ia adalah sistem senjata kritikal yang menjadi tulang belakang kepada pasukan tempur infantri TDM. Kelewatan dalam penghantaran bukan sahaja menjejaskan tempoh latihan dan operasi, sebaliknya menyebabkan kelewatan pengoperasian penuh formasi yang dirancang. Dalam konteks pertahanan, masa adalah faktor strategik. Dan apabila vendor utama tidak dipantau dengan tegas, masa yang hilang itu membawa kos yang tidak ternilai.

Pihak vendor dalam kes ini memegang lesen pengilangan dan pemasangan bagi kenderaan GEMPITA melalui kerjasama teknologi dengan syarikat FNSS Turkiye. Ini menjadikan mereka satu-satunya saluran bagi pembekalan, alat ganti, latihan serta senggaraan bersepadu. Tanpa pesaing tempatan atau pengganti lain, TDM tiada pilihan selain bergantung penuh kepada vendor sama, satu realiti yang membuka ruang kepada perhubungan monopoli terselindung dalam kontrak pertahanan.

Lebih membimbangkan, audit turut mendedahkan, kontrak GEMPITA tidak memperuntukkan mekanisme penalti automatik yang kukuh. Sebaliknya, sebahagian besar tindakan penguatkuasaan bergantung kepada keputusan pentadbiran, menjadikan penalti sebagai satu perkara boleh dirunding, bukan perjanjian wajib. Dalam sektor awam biasa, kegagalan sebegini mungkin membawa kepada surcaj atau tindakan tatatertib. Tapi dalam sektor pertahanan, kelewatan ini boleh menterjemah kepada kelemahan di medan sebenar.

Cabaran vendor utama juga berlaku dalam penyelenggaraan. Tiga kontrak berasingan bagi penyelenggaraan GEMPITA, ADNAN dan PENDEKAR telah mencatat kelewatan antara 2 hingga 227 hari. Namun hanya satu syarikat dikenakan penalti secara rasmi. Dua lagi vendor utama belum menerima notis penalti walaupun jumlah denda tertunggak mencecah RM1.42 juta. Ini menunjukkan kedudukan vendor utama bukan sahaja memberi mereka kawalan ke atas pembekalan, namun turut memperlahankan akauntabiliti apabila berlaku kelewatan.

Isu berulang dalam projek strategik negara

Vendor utama bukanlah isu terpencil dalam kes GEMPITA sahaja. Malaysia turut pernah berdepan dengan beberapa projek mega yang pada akhirnya terpaksa ditangguhkan, malah ada yang dibatalkan sepenuhnya. Antara contoh paling menonjol ialah Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan pembatalan perolehan helikopter Black Hawk.

Projek LCS, yang bertujuan memperkukuh armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sepatutnya menjadi simbol kejayaan vendor tempatan dalam mengendalikan pembinaan kapal perang moden. Sebaliknya, selain jumlahnya yang terpaksa dikurangkan daripada 6  kepada 5 buah kapal, sehingga kini, tiada satu pun kapal siap diserahkan walaupun kontrak telah berjalan lebih sedekad. Audit dan siasatan mendapati kelewatan kronik berpunca daripada kelemahan pengurusan vendor utama serta perubahan spesifikasi tanpa kawalan ketat daripada pihak kerajaan. 

Dalam konteks lebih luas, projek Offshore Patrol Vessel (OPV) untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut menjadi cerminan kepada isu sama. Kelewatan pembinaan dan ketidaktentuan tarikh penghantaran menggambarkan bagaimana sistem vendor utama tanpa kawalan ketat boleh menjadikan perolehan aset maritim negara tergendala dalam fasa kritikal serta menyumbang kepada pembaziran sumber negara.

Contoh-contoh ini menggambarkan satu pola yang berulang. Apabila vendor utama diberikan tanggungjawab besar tanpa sistem pemantauan dan akauntabiliti yang kuat, risiko kegagalan meningkat secara eksponen. Kegagalan ini tidak hanya bersifat teknikal, sebaliknya turut melemahkan kepercayaan awam terhadap keupayaan kerajaan menguruskan aset strategik negara. Akhirnya, rantaian persoalan ini menuntut kepada satu penilaian semula menyeluruh terhadap model vendor utama di Malaysia. Ini menimbulkan persoalan besar, adakah vendor utama terlalu kebal untuk dikenakan tindakan tegas?


Pembinaan 2 lagi Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) untuk Maritim Malaysia akan disambung semula, melibatkan vendor baharu susulan kegagalan vendor utama terdahulu dalam menepati waktu (FOTO HIASAN)


Model kawalan vendor utama yang berkesan

Mengulas lanjut, masalah utama bukan pada siapa, sebaliknya pada bagaimana sistem disusun. Model vendor utama yang tidak diiringi mekanisme kawalan yang ketat akhirnya mewujudkan satu ekosistem kebergantungan. Apabila hanya satu syarikat yang mempunyai lesen, teknologi dan keupayaan untuk memenuhi keperluan sesuatu sistem, maka ruang untuk kerajaan membuat keputusan bebas menjadi sangat terhad. Ini juga boleh memberi kesan kepada daya saing industri pertahanan tempatan, kerana pemain lain tidak dapat menembusi pasaran yang dimonopoli secara senyap.

Adakah semua vendor utama bermasalah? Tidak semestinya. Banyak negara menggunakan pendekatan ini dengan jayanya, asalkan ada kawalan seimbang. Di UK, misalnya, Kementerian Pertahanan menggunakan struktur “prime contractor” tetapi dengan semakan suku tahunan yang wajib dan penalti automatik berdasarkan sistem penilaian prestasi lepas. Di Korea Selatan pula, vendor utama diwajibkan menyerahkan semua kod sumber dan spesifikasi kepada kerajaan bagi mengelakkan kebergantungan sepenuhnya kepada pembekal. Australia pula memperkenalkan konsep sustainment transparency, di mana semua kos penyelenggaraan mesti dilaporkan dalam platform awam secara berkala.

Malaysia boleh mengambil inspirasi daripada pendekatan ini. Dalam konteks semasa, langkah seperti penguatkuasaan penalti secara automatik, audit berkala terhadap prestasi vendor, serta pembahagian tanggungjawab teknikal kepada lebih daripada satu entiti berkelayakan boleh mengurangkan risiko dominasi tunggal. Lebih penting, keperluan untuk merombak struktur rundingan dan menilai semula kontrak jangka panjang adalah satu keperluan mendesak, terutamanya bagi aset kritikal yang menjadi tulang belakang kepada pertahanan negara.

Vendor utama bukanlah masalah. Mereka sebahagian daripada penyelesaian, jika dikawal dengan betul. Tetapi apabila kawalan longgar, garis sempadan antara kecekapan dan kebal menjadi semakin kabur. Dan apabila aset pertahanan negara diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab satu pihak, risiko bukan hanya dari luar, tetapi juga dari dalam sistem itu sendiri.

Persoalan yang lebih besar ialah apakah masa depan model vendor utama dalam perolehan pertahanan Malaysia? Adakah kita bersedia untuk beralih kepada sistem berbilang vendor dengan pemantauan berpusat? Atau adakah kita masih percaya bahawa memberikan tanggungjawab besar kepada satu entiti tempatan adalah cara terbaik untuk membangunkan industri pertahanan nasional?

Apa pun jawapannya, satu perkara jelas. Kebergantungan tanpa kawalan adalah kelemahan. Dan apabila ia melibatkan aset strategik, kelemahan itu bukan lagi ukuran kewangan, sebaliknya soal keselamatan negara. -airtimes.my

#airtimes #diskusi #asetpertahanan #perolehan #AV8GEMPITA #pertahanan

Related Articles

Leave a Reply