Home SemasaPembekalan NSM: Malaysia akan saman syarikat dari Norway

Pembekalan NSM: Malaysia akan saman syarikat dari Norway

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 14 MEI – Kementerian Pertahanan sedang meneliti tindakan tuntutan terhadap syarikat Norway berhubung kegagalan pembekalan peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM). Tuntutan itu melibatkan kontrak bernilai lebih RM600 juta bagi kapal tempur pesisir (Littoral Combat Ship, LCS), KD Lekir serta KD Jebat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian sedang membuat pengiraan jumlah kerugian akibat pelanggaran kontrak tersebut. Menurut beliau, tuntutan tidak hanya merangkumi bayaran yang telah dibuat oleh Malaysia.

“Kita bukan sahaja akan tuntut apa yang telah kita bayar, tetapi kesan daripada pelanggaran kontrak ini yang mendatangkan kerugian kepada kita,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Program PROWIRA Ready to Work Graduan, hari ini.

Beliau berkata, kementerian telah menubuhkan jawatankuasa bagi melihat proses memulakan tindakan. Jawatankuasa itu turut membuat pengiraan terhadap jumlah sebenar yang wajar dituntut daripada syarikat terbabit.

Mohamed Khaled menjelaskan kontrak tersebut merangkumi dua keperluan berasingan. Satu kontrak melibatkan kapal LCS, manakala satu lagi bagi KD Lekir serta KD Jebat.

Menurut beliau, nilai keseluruhan kontrak itu melebihi RM600 juta. Malaysia pula telah membayar 95 peratus daripada jumlah tersebut.

Beliau berkata, kegagalan bekalan peluru berpandu itu memberi kesan kepada keupayaan kapal. Ini kerana kapal yang siap kelak tidak mempunyai sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan seperti dirancang.

“Kerugian yang kita hadapi tentunya walaupun kapal kita boleh siap, tetapi kita tidak mempunyai peluru berpandu permukaan ke permukaan,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, kementerian turut meneliti alternatif bagi mendapatkan bekalan gantian dengan kadar segera. Bagaimanapun, beliau menegaskan proses itu tidak mudah kerana sistem peluru berpandu perlu disesuaikan dengan sistem lain di atas kapal.

Menurutnya, sistem baharu perlu berhubung dengan komponen komunikasi, elektrik serta sistem tempur sedia ada. Keadaan itu memerlukan tempoh pembangunan, ujian teknikal serta latihan semula kepada anggota.

Beliau berkata, penggantian sistem baharu sedaya mungkin tidak menjejaskan jadual penyerahan kapal LCS pertama yang dijangka pada Disember. Menteri Pertahanan dijadualkan ke Lumut bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara itu.

Dalam masa sama, Mohamed Khaled menegaskan tindakan perundangan akan diambil terhadap syarikat berkenaan. Beliau menjelaskan kontrak dibuat dengan syarikat, bukan kerajaan Norway.

“Kita akan saman syarikat yang menyebabkan semua ini kerana kerajaan Norway tidak beri lesen eksport,” katanya.

Sebelum ini, isu pembekalan NSM mencetuskan perhatian selepas kerajaan Norway tidak membenarkan eksport peluru berpandu tersebut kepada Malaysia. Perkembangan itu memberi kesan kepada rancangan persenjataan kapal TLDM, khususnya keupayaan serangan permukaan. airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply