Home Pertahanan dan KeselamatanAnwar bantah Norway tarik balik lesen eksport NSM untuk Malaysia

Anwar bantah Norway tarik balik lesen eksport NSM untuk Malaysia

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

PUTRAJAYA, 14 MEI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan bantahan keras Malaysia kepada Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre berhubung keputusan negara itu menarik balik lesen eksport peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) dan sistem pelancar untuk Malaysia.

Menurut Anwar, bantahan itu disampaikan dalam perbualan telefon dengan Støre susulan keputusan sepihak Norway yang disifatkannya sebagai tidak boleh diterima, dengan alasan bagi melindungi keselamatan negara berkenaan.

Beliau menegaskan Malaysia telah memenuhi semua kewajipan di bawah kontrak berkenaan sejak 2018 secara teliti dan tanpa sebarang pengecualian.

“Kontrak yang telah dimeterai ialah instrumen yang serius. Ia bukan kertas hiasan yang boleh ditabur secara sewenang-wenangnya,” kata Anwar dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun media sosial rasmi beliau.

Anwar berkata keputusan Norway itu akan membawa kesan serius terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan Malaysia dan program pemodenan Kapal Tempur Pesisir atau Littoral Combat Ship (LCS), selain mempunyai implikasi lebih luas terhadap keseimbangan serantau.

Beliau turut memberi amaran bahawa nilai pembekal pertahanan Eropah sebagai rakan strategik akan terjejas sekiranya mereka boleh mengingkari kontrak yang telah dimeterai tanpa akibat.

Isu itu sebelum ini timbul susulan laporan mengenai sekatan pembekalan NSM untuk LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seperti mana dilaporkan oleh Malaysian Defence.

Air Times turut melaporkan Kementerian Luar Norway mengesahkan pihak berkuasa negara itu telah membatalkan beberapa lesen eksport melibatkan teknologi tertentu susulan kawalan eksport yang lebih ketat, namun tidak memperincikan jenis teknologi, syarikat atau kontrak yang terlibat.

Pembekalan NSM kepada TLDM merupakan sebahagian daripada projek pembangunan kapal LCS untuk TLDM. NSM dirancang untuk diintegrasikan dengan sistem pengurusan tempur SETIS yang dihasilkan oleh Naval Group.

Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan kerajaan kesal dengan tindakan Norway yang tidak meluluskan permit eksport pada saat akhir, walaupun kontrak perolehan itu telah dimeterai sejak 2018 dan pembayaran dibuat mengikut jadual.

Beliau berkata kerajaan mengambil tindakan melalui saluran diplomatik dan turut mempertimbangkan langkah susulan dari sudut perundangan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula sebelum ini dilaporkan akan bertemu rakan sejawatnya dari Norway di Singapura bulan ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusan tersebut.

NSM merupakan peluru berpandu serangan permukaan keluaran Kongsberg Defence & Aerospace yang direka untuk menyerang sasaran di laut dan darat.

Menurut Kongsberg, sistem itu boleh dilancarkan daripada pelbagai platform, mempunyai ciri penerbangan mendakap permukaan laut (sea-skimming), manuver dan sistem pengecaman sasaran autonomi bagi mengenal pasti sasaran sebelum impak.

Berdasarkan data teknikal Kongsberg, NSM mempunyai kelajuan subsonik, berat 407 kilogram, panjang 3.96 meter dan jarak operasi melebihi 300 kilometer.

Selain konfigurasi kapal permukaan seperti yang dirancang untuk program LCS, NSM turut ditawarkan dalam sistem pertahanan pesisir berasaskan darat atau Coastal Defence System (CDS). Kongsberg turut menyenaraikan Joint Strike Missile (JSM) sebagai produk berkaitan dalam keluarga sistem peluru berpandu syarikat itu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply