Home SemasaAustralia serah 12 kenderaan berperisai LandCruiser kepada Papua New Guinea

Australia serah 12 kenderaan berperisai LandCruiser kepada Papua New Guinea

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

PORT MORESBY, 16 Ogos – Kerajaan Australia telah menyerahkan 12 buah kenderaan LandCruiser berperisai kepada Angkatan Pertahanan Papua New Guinea (PNGDF) sebagai simbol komitmen kerjasama dua negara.

Penyerahan tersebut memperkukuh kerjasama keselamatan dan ketenteraan bersama Angkatan Pertahanan Australia (ADF).

Bagaimana pun, kenderaan berperisai yang disumbangkan itu tidak dilengkapi dengan senjata.

Ia direka untuk pengangkutan anggota dalam operasi keselamatan seperti rondaan, pengawasan dan tugas-tugas ketenteraman awam.

LandCruiser berperisai ini adalah lebih ringan berbanding kenderaan Bushmaster yang digunakan oleh ADF, menjadikannya lebih sesuai untuk keperluan operasi PNGDF.

Penyerahan pada 11 Ogos lalu disempurnakan antara Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles, dan Menteri Pertahanan Papua New Guinea, Dr Billy Joseph.

Terdahulu, penyerahan ini telah diumumkan lebih awal oleh Richard Marles semasa Forum Menteri PNG-Australia ke-30 pada tahun 2024.

Dalam forum tersebut, Australia turut menyatakan komitmen untuk membiayai pembaikan hangar Cawangan Pengangkutan Udara PNGDF di Lapangan Terbang Antarabangsa Jacksons, Port Moresby.

Hangar ini bakal berfungsi sebagai ruang operasi bersama untuk PNGDF dan ADF.

Sebelum ini, kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara turut dizahirkan menerusi penganjuran Latihan Talisman Sabre 2025, yang telah melabuhkan tirainya pada 4 Ogos dengan majlis penutupan di Lae, PNG.

Dalam pada itu, Tentera Laut Amerika Syarikat melaksanakan misi bantuan kemanusiaan tahunan terbesar dan misi bantuan bencana di rantau Indo-Pasifik di negara pulau tersebut.

Kapal USS Pearl Harbor berlabuh di Pelabuhan Lae bagi memulakan program Pacific Partnership
untuk bekerjasama dengan komuniti PNG selama dua minggu aktiviti penglibatan kesihatan, kejuruteraan dan kebudayaan.

Operasi kemanusiaan ini turut disertai Australia. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply