Semalam, titah oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah menjadi tumpuan media tanah air dan juga antarabangsa. Walaupun disampaikan dengan nada yang lembut, Sultan Ibrahim telah menyampaikan titah yang begitu jelas dan tegas.
“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat Skyhawk secara ‘second hand’. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’?” titah Yang di-Pertuan Agong semasa Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-60 di Kem Iskandar, Mersing semalam.

Titah Sultan Ibrahim sudah tentu wajar diambil perhatian kerana Baginda bukan sekadar Ketua Negara tetapi juga merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Foto: Air Times/Huda
Titah Baginda sudah tentu wajar didalami dan difahami. Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bukan sekadar Ketua Negara tetapi pada masa yang sama Baginda merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Kedudukan ini sudah tentu jelas dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagi yang telah lama mengikuti dunia pertahanan tanah air, Skyhawk sememangnya salah satu episod luka dalam sejarah negara.

Jet pejuang A-4 PTM Skyhawk pernah diioperasikan oleh TUDM untuk mempertahankan ruang udara Malaysia pada satu ketika dahulu. Foto: skyhawk
org
‘Mengapa keranda terbang’
Istilah keranda terbang sudah tentu satu jolokan nama yang tidak asing bagi sesuatu pesawat udara, baik pesawat tentera atau awam.
Ia merujuk kepada reputasi pesawat terbabit yang kerap mempunyai isu khususnya kemalangan atau nahas udara yang lazimnya membawa maut.
Selain itu, istilah lain turut digunakan seperti widow maker (pembuat janda/pemakan suami).
Pun begitu, istilah keranda terbang lazim digunakan kerana ianya dilihat lebih tepat dan juga tidak membawa konotasi atau konteks jantina.

A-4 Skyhawk pernah menjadi tunjang belakang Tentera Laut Amerika Syarikat pada era Perang Vietnam. Foto: U.S. Navy
Sekilas A-4 Skyhawk
A-4 Skyhawk merupakan pesawat serang ringan (light fighter) atau jet pejuang-pengebom (fighter/bomber) yang dihasilkan oleh Douglas Aircraft Company (kemudian McDonell Douglas). Pesawat sub-sonik ini direka untuk beroperasi dari geladak kapal pengangkut pesawat (kapal induk/aircraft carrier).
Jet pejuang ini menjadi antara pesawat ikonik dalam beberapa medan konflik global terutamanya dalam Perang Vietnam, Perang Yom Kippur dan Perang Falkland.
Malaysia dan A-4 Skyhawk
Pada lewat 1970-an hingga pertengahan 1980-an, Kerajaan Malaysia telah melaksanakan program PERISTA (Program Istimewa Angkatan Tentera) yang bermatlamat untuk memperkasakan keupayaan ATM, khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
PERISTA pada ketika itu diwujudkan bagi memantapkan ATM sebagai angkatan konvensional dan berkeupayaan tempur yang tinggi. Di bawah PERISTA, ATM telah menerima sejumlah aset termasuk RF-5E, kenderaan berperisai Condor, Sibmas, kapal korvet kelas KASTURI dan kapal penyapu ranjau kelas MAHAMIRU.
Melalui PERISTA, Malaysia telah memutuskan untuk membeli sekitar 88 buah A-4C dan A-4L dari Amerika Syarikat. A-4 Skyhawk yang dibeli pada ketika itu merupakan lebihan (surplus) dalam stok AS. Pesawat telah diubahsuai kepada A-4 PTM (satu tempat duduk) dan TA-4PTM (dua tempat duduk).
Berdasarkan rekod oleh laman web skyhawk.org, kesemua pesawat terbabit adalah lebihan dari US Navy dan sebanyak 40 buah A-4 PTM telah dihantar kepada Malaysia. Jumlah itu merangkumi 34 A-4 PTM dan 6 TA-4 PTM. Selebihnya berada di AS sebagai simpanan.
Kesemua pesawat ini menjadi taring kepada No. 6 Skuadron dan No. 9 Skuadron TUDM. Malaysia mula menerima 10 buah A-4 Skyhawk pertama pada Februari 1985.
Pun begitu, episod duka Skyhawk mula berlaku tidak lama kemudian.
Nahas dan demi nahas
Nahas udara pertama melibatkan A-4 PTM berlaku pada 24 September 1985 apabila pesawat malang terbabit mengalami masalah enjin ketika mendarat semasa menjalani latihan rutin. Keadaan ini telah menyebabkan A-4 PTM yang dikendalikan oleh Lt. Udara Khairil Asri terbabas dan meletup.
Juruterbang berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan kerusi lenting (ejection seat) pada aras rendah.
Nahas kedua pula melibatkan bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM yang pada ketika itu berusia 26 tahun dan berpangkat Leftenan. Kejadian berlaku pada 15 Mac 1988 di Kuala Lipis, Pahang.
Lebih sebulan kemudian, satu nahas udara melibatkan A-4 PTM yang masih lagi berada dalam lipatan misteri tanah air. Sebuah pesawat A-4PTM hilang di Laut China Selatan ketika melaksanakan penerbangan latihan dari Kuantan ke Labuan.
Dalam kejadian pada 23 Jun 1988 itu, pesawat A-4PTM yang dibawa oleh Leftenan Wahi Anuar Mat Amin TUDM telah hilang semasa dalam perjalanan ke Labuan. Pesawat dilaporkan hilang selepas terbang dalam keadaan cuaca buruk, pada keduduk 290 batu nautika dari Kuantan.
Sehingga ke hari ini, jenazah dan pesawat dibawa oleh Leftenan Wahi tidak ditemui. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 April 1996 telah membuat keputusan dan pengisytiharan bahawa beliau telah dianggap meninggal dunia.
Pada 29 September 1988, Kapten Felix Gonsalvez terselamat apabila berjaya melepaskan diri dengan menggunakan kerusi lenting selepas A-4 PTM beliau terhempas berhampiran Pulau Yu.
Tidak sampai seminggu, sebuah lagi pesawat Skyhawk TUDM terhempas di Laut China Selatan, luar pesisir Sarawak akibat masalah enjin dan cuaca buruk. Kapten Abdul Mues berjaya menyelamatkan diri sebelum pesawat kendalian beliau terhempas. Selepas 15 jam terapung di laut, beliau kemudiannya diselamatkan oleh KD LEKIR. Dalam kejadian pada 3 Oktober 1988 itu, beliau dalam penerbangan ke Labuan dari Kuantan.
Pada 15 Ogos 1990, Gunung Dulang telah menyaksikan satu nahas udara yang meragur nyawa wira udara. Pesawat yang dipandu okeh mendiang Mejar Ong Cher Kiong TUDM telah terhempas akibat keadaan cuaca.
Pesawat latihan, TA-4PTM mula dirundung masalah pada tahun 1992.
Kejadian pertama berlaku pada 30 Julai 1992 dimana sebuah pesawat latihan TA-4PTM terhempas di landasan Pangkalan Udara Kuantan. Dalam nahas ini, Leftenan Kolonel Mohamad Yusof Isa dan Leftenan Zulkifli Abdul Rahman terselamat namun mengalami kecederaan.
Kurang sebulan kemudian, Mejar Suri Md Daud dan Leftenan Amer Mahmud Abdul Rahman berjaya melepaskan diri apabila pesawat TA-4PTM kendalian mereka terhempas di Bukit Rangin, Kampung Permatang Badak, Kuantan.
Kejadian 21 Ogos 1992 itu berlaku semasa latihan penerbangan sedang dijalankan.
Pada 8 Julai 1993, Kapten Khairani Mohammad terselamat apabila berjaya melepaskan diri dari jet pejuang A-4 PTM Skyhawk yang mengalamai masalah enjin. Nahas berlaku ketika pesawat baru sahaja berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan.
Kali terakhir insiden melibatkan TA/A-4PTM Skyhawk dilaporkan berlaku pada 19 Oktober 1993. Kejadian dilaporkan berlaku di ruang udara Kemaman, Terengganu selepas TA-4PTM berlepas dari Kuantan.
Ketika kejadian, kanopi pesawat dilaporkan tercabut. Mejar Suri Daud dilaporkan mengalami kecederaan ringan pada muka manakala pelatih beliau, Kapten Sahar Ayub tidak mengalami kecederaan.

Walaupun mempunyai tempoh perkhidmatan yang singkat, A-4 PTM dan TA-4 PTM telah mencatatkan kadar nahas yang tinggi. Foto: skyhawk.org
Banyak insiden, jangka operasi yang pendek
Dalam tempoh 8 tahun sahaja, sebanyak 10 insiden melibatkan A-4PTM dan TA-4PTM dengan 2 nyawa juruterbang disahkan maut. Sudah tentu, adalah tidak keterlaluan Skyhawk disebut sebagai keranda terbang oleh Sultan Ibrahim.
Peranan Skyhawk kemudiannya digantikan oleh BAe Hawk 108/208 sehingga kini.
Pun begitu, baki lebih 40 buah pesawat Skyhawk yang tidak dihantar ke Malaysia didakwa disekat atas dasar isu geopolitik dan lobi kuasa luar. Sejauh mana dakwaan ini benar, ia masih tidak dapat dipastikan.
Apa yang pasti, titah oleh Sultan Ibrahim wajar diambil kira. Titah Baginda telah menitikberatkan perolehan aset yang sesuai dan selamat. Sudah pasti, aset boleh diganti tetapi bagaimana pula dengan modal insan yang hilang akibat nahas?
Pun begitu, adakah titah Sultan Ibrahim juga memberikan isyarat tersendiri kepada perolehan F/A-18 Hornet dari Kuwait? Mungkin masa akan menentukan akan hala tuju perolehan dari Negara Teluk itu. – airtimes.my
