Home Pertahanan dan Keselamatan Helikopter PUTD baharu mesti ada winching dan underslung – Ikmal Hisham

Helikopter PUTD baharu mesti ada winching dan underslung – Ikmal Hisham

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Helikopter baharu Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) perlu dilengkapi dengan keupayaan winching dan underslung bagi memenuhi keperluan operasi tempur serta misi Combat Search and Rescue (CSAR).

Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, tindakan Kementerian Pertahanan (MINDEF) membuka semula tender empat helikopter medium-lift adalah tepat kerana Tentera Darat Malaysia (TDM) kini berdepan kelompongan aset selepas helikopter Nuri dilucut tauliah pada 2019.

“Walau bagaimanapun, keupayaan yang mesti ada pada helikopter berkenaan adalah ‘winching’ dan ‘underslung’ capability,

“Jika diperhatikan pesawat rotor atau jenis helikopter yang mampu memenuhi kehendak dan keperluan operasi semasa TDM hanyalah Black Hawk dan H225M/ EC725,

“Saya berpandangan kesemua aset ketenteraan yang dibekalkan kepada ATM hendaklah menepati keperluan operasi sebenar pihak end-user. Dalam hal ini, 2 jenis pesawat helikopter yang terbukti mampu adalah dari jenis Black Hawk ataupun H225M,”jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu, eksesais bersama Tentera Amerika Syarikat dan Tentera Australia baru-baru ini jelas membuktikan keupayaan helikopter Black Hawk mengangkut meriam secara under-slung serta melaksanakan tindakan winching anggota tercedera dalam simulasi pertempuran.

“Pesawat ini adalah menepati kehendak dan keperluan operasi harian TDM selain daripada selari dengan perancangan awal yang telah digariskan di dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) 2019,

“Ia juga selari dengan Pelan Pembangunan Keupayaan Strategik Army 4NEXTG yang menekankan kepentingan supaya TDM tidak menambah lagi jenis-jenis aset termasuk helikopter dari pelbagai negara pembuat,

“Perkara ini tidak efisyen dari sudut kos operasi TDM (commonality, interoperability, parts-sharing),” ujarnya lagi.

Dalam kenyataan yang sama, Ikmal Hisham turut menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menegaskan ATM perlu memperoleh pesawat baharu dan tidak mengulangi kesilapan membeli aset lama yang boleh mengancam keselamatan juruterbang.

Menurutnya, beliau juga menyokong tindakan MINDEF membuka semula tender ini kerana ia bukan sahaja penting untuk kesiagaan TDM menjaga kedaulatan negara, tetapi juga memberi manfaat dalam misi bantuan bencana dan banjir.

“Bukan sahaja pesawat atau helikopter ini akan memberikan impak dan manfaat secara langsung bagi tindak-kerja TDM menjaga kedaulatan negara, tetapi juga berupaya memberikan sokongan kepada agensi keselamatan negara yang lain dalam situasi bencana mahupun banjir,

“Saya hanya mampu berdoa MINDEF/TDM akan berjaya mendapatkan keperluan atau jenis helikopter berdasarkan kepada keperluan sebenar “end-user” dan tidak terpengaruh dengan keputusan yang dibuat oleh pelobi tertentu,” jelasnya lagi. -airtimes.my

#pertahanan #airtimes #PUTD #TDM #Malaysia

 

 

Leave a Reply