KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden kemalangan pesawat F/A-18D Hornet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, malam tadi.
“Pihak berkuasa diminta menjalankan siasatan yang menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian dan memastikan langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya diambil,” ujarnya dalam hantaran di laman media sosialnya, hari ini.
Dalam hantaran yang sama, beliau menzahirkan rasa simpati kepada juruterbang dan pembantu juruterbang yang cedera dalam kejadian tersebut.
“Saya menzahirkan simpati terhadap juruterbang dan pembantu juruterbang TUDM yang terlibat dalam insiden di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (Pangkalan Udara Kuantan) malam tadi,
“Saya mendoakan agar kedua-dua anggota yang cedera diberikan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatan dan pemulihan,” jelasnya lagi.
Pesawat milik TUDM itu dilapor mengalami kemalangan di Pangkalan Udara Kuantan pada pukul 9.05 malam tadi.
Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan mengesahkan, kejadian melibatkan sebuah pesawat F/A-18D Hornet di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (LPSAS).
Difahamkan, insiden berlaku ketika pesawat berkenaan sedang menjalani latihan rutin sebelum mengalami masalah teknikal sehingga tergelincir di kawasan landasan.
Rakaman video yang tular di media sosial turut menunjukkan enjin pesawat berkenaan terbakar sejurus percubaan berlepas dilakukan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dilaporkan berkata, keadaan juruterbang dan pembantu juruterbang stabil, manakala siasatan awal di lokasi kemalangan sedang dijalankan.
TUDM memberi jaminan akan berkongsi perkembangan lanjut sebaik maklumat sahih diperoleh dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi.-airtimes.my
#TUDM #pesawat #kemalangan #airtimes #Malaysia
