Dalam landskap geopolitik Asia Tenggara yang semakin kompleks, ancaman keselamatan hari ini tidak lagi terbatas kepada peperangan konvensional. Sebaliknya, ia bersifat pelbagai dimensi dan melangkaui sempadan fizikal, siber, ekonomi serta sosial.
Malaysia bukan sekadar bergantung kepada kekuatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan lain, sebaliknya memerlukan kerangka pertahanan yang dinamik, fleksibel dan berupaya menyesuaikan diri dengan cabaran kontemporari yang semakin kompleks. Keperluan ini menjadi lebih mendesak susulan ketegangan Laut China Selatan (LCS), peningkatan aktiviti risikan, dan serangan terhadap infrastruktur kritikal.
Dalam konteks inilah, Kertas Putih Pertahanan (KPP) diperkenalkan sebagai bukti komitmen kerajaan memperkasakan pertahanan dalam melindungi kepentingan negara dari sebarang cabaran dan kedaulatan serta keutuhan wilayah. Ia memperincikan langkah transformasi pertahanan berasaskan konsep menyeluruh, selari dengan prinsip “Whole of Government, Whole of Society”. Pendekatan ini, yang turut ditekankan dalam Dasar Pertahanan Negara (DPN 2.0), mengiktiraf bahawa pertahanan negara adalah tanggungjawab bersama melibatkan kerajaan, sektor swasta dan seluruh rakyat.
ASEAN rakan strategik keselamatan
Dalam kerangka KPP, kerjasama serantau melalui ASEAN diangkat sebagai elemen penting dalam membina keselamatan bersepadu. Platform seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus menjadi saluran utama untuk diplomasi pertahanan, perkongsian maklumat, dan pelaksanaan latihan bersama bagi menangani ancaman rentas sempadan.
Namun, realiti semasa menunjukkan bahawa prinsip tidak campur tangan dan konsensus dalam ASEAN boleh menjadi cabaran untuk membentuk sistem keselamatan kolektif yang lebih padu. Malaysia berada dalam kedudukan strategik sebagai pemacu perubahan, menjadikan KPP sebagai asas memperkukuh penglibatan ASEAN dalam agenda keselamatan yang lebih proaktif, termasuk memperkasa Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) dan mempertahankan prinsip Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).
Selain ASEAN, Malaysia juga terlibat dalam kerangka pertahanan multilateral seperti Five Power Defence Arrangements (FPDA) yang melibatkan Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom. Walaupun FPDA tidak mengikat dari segi komitmen pertahanan bersama, ia menyediakan saluran kerjasama teknikal dan latihan ketenteraan yang konsisten.
Menyesuaikan diri dengan konflik moden
Konflik moden tidak lagi kepada kekuatan ketenteraan, sebaliknya dipengaruhi ancaman bersifat hibrid seperti peperangan siber, manipulasi media sosial, serangan ke atas rangkaian bekalan, dan ancaman terhadap kestabilan ekonom. Bentuk serangan ini lazimnya berlaku secara senyap, sukar dikesan, tetapi berpotensi menggugat kestabilan negara.
KPP memberi penekanan kepada pembangunan Angkatan Masa Hadapan yang berupaya menghadapi ancaman bukan tradisional. Ini termasuk memperkukuh keupayaan pertahanan siber, penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI), penggunaan big data, serta pemantapan sistem amaran awal. Melalui fungsi 5T iaitu dengan pemantauan ancaman, analisis trend, penjejakan prestasi, pemacu transformasi dan platform titik sentuh. Malaysia berhasrat memastikan pertahanan negara sentiasa responsif terhadap perubahan landskap ancaman.
Namun, kejayaan ini memerlukan koordinasi mantap antara agensi keselamatan, industri pertahanan, sektor teknologi serta kesedaran awam terhadap tanggungjawab bersama dalam mempertahankan negara.
Memperkukuh kerjasama dua hala dan pelbagai hala

Bagi menjamin keselamatan negara kekal kukuh, kerjasama serantau melalui ASEAN diangkat sebagai teras penting dalam membentuk pertahanan yang bersepadu dan berdaya tahan. FOTO: ASEAN
Kedudukan Malaysia yang berkongsi sempadan darat dan laut dengan hampir semua negara ASEAN menjadikan hubungan diplomatik yang stabil sebagai asas kepada keselamatan serantau. Oleh itu, kerjasama dua hala dengan negara jiran yang memiliki keupayaan teknologi pertahanan tinggi seperti Singapura, Indonesia dan Thailand, serta kerjasama pelbagai hala melalui ASEAN dan rakan luar seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Australia, adalah keperluan strategik.
Kerjasama ini tidak hanya berfokus kepada latihan ketenteraan, tetapi juga perkongsian teknologi, pembangunan industri pertahanan, dan pembinaan kapasiti sumber manusia. Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang dijangka dibentangkan pada Ogos 2025 akan menjadi pemangkin kepada kemandirian teknologi pertahanan Malaysia.
Memelihara kepentingan strategik
KPP menegaskan bahawa keselamatan negara adalah teras kepada kelangsungan strategik. Malaysia mengawal laluan perdagangan penting seperti Selat Melaka, yang menjadi nadi perdagangan global, dan kedudukannya yang strategik menjadikannya tumpuan kuasa besar. Sebarang ketidaktentuan di rantau ini akan memberi kesan langsung terhadap kestabilan dan kedaulatan negara.
Oleh itu, pelaksanaan hala tuju KPP memerlukan tindakan nyata yang melangkaui perancangan dasar. Ini termasuk meningkatkan keupayaan logistik, memperkukuh infrastruktur keselamatan digital, serta membina daya tahan sosial dalam kalangan rakyat.
Meneroka masa depan serantau
Dalam era yang penuh ketidakpastian, pelbagai negara kini memperkukuh sistem pertahanan masing-masing. Malaysia tidak terkecuali untuk menjadi suara perubahan dalam ASEAN yang menyumbang kepada kestabilan rantau, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari PBB, Visi Komuniti ASEAN 2025 dan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific.
Hubungan pertahanan Malaysia dengan ASEAN perlu dilihat bukan sekadar usaha diplomatik, tetapi sebagai peluang strategik membina ekosistem keselamatan yang mampan dan inklusif. Kerjasama erat bersama ASEAN bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan mendesak untuk memastikan rantau kekal aman, bebas dan sejahtera.
KPP bukan sekadar sebuah dokumen dasar, tetapi pemangkin kepada era baharu pertahanan negara. Dalam landskap keselamatan semasa, kedaulatan Malaysia hanya dapat dipertahankan melalui integrasi dalam kerangka serantau dan global yang responsif. Kejayaan pelaksanaannya bergantung kepada sejauh mana negara mampu menggabungkan kekuatan dalaman dan kerjasama serantau secara bersepadu demi masa depan yang lebih selamat. -airtimes.my
#Airtimes #KPP #Pertahanan #ASEAN #Malaysia
