KUALA LUMPUR, 17 April – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memulakan pelantikan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas pegawai tentera dan polis di beberapa Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sebagai langkah awal untuk memperkukuh disiplin pelajar dan membanteras gejala buli.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif tersebut akan dilaksanakan secara projek rintis melibatkan beberapa buah MRSM terpilih sebelum diperluaskan mengikut keberkesanannya.
“Cadangan ini telah saya bangkitkan dalam Majlis MARA dan dipersetujui sebulat suara. Ia adalah langkah proaktif ke arah mencapai matlamat Sifar Buli di MRSM,” katanya menerusi laman Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, bekas guru, Mohd Fadli Mohamed Salleh pernah mencadangkan agar diwujudkan jawatan warden secara tetap yang terdiri daripada pesara askar, polis dan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Tambah beliau, tugas warden tidak sesuai diberikan sepenuhnya kepada guru kerana ia sangat berat dan memerlukan perhatian sepanjang masa.
Mengulas lanjut, Asyraf trutu menjelaskan, kerjasama juga akan dijalinkan dengan Persatuan Veteran Tentera dan Bekas Polis bagi mengenal pasti calon yang sesuai serta menilai kriteria pemilihan berdasarkan pengalaman dan kebolehan dalam membentuk disiplin.
Tambahnya, bahagian Pendidikan Menengah MARA akan menyediakan garis panduan terperinci berkaitan terma rujukan (TOR), tanggungjawab dan bidang tugas warden yang dilantik, bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan.
Dr Asyraf menegaskan bahawa peranan warden bukan sekadar memastikan peraturan dipatuhi, tetapi juga memainkan fungsi penting dalam membina sahsiah, akhlak dan keperibadian pelajar secara holistik, selaras dengan falsafah pendidikan MARA yang menekankan keseimbangan jasmani, emosi, rohani dan intelek.
“Ini juga bagi memastikan matlamat MARA untuk SIFAR BULI di MRSM benar-benar mampu direalisasikan.” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Dr Asyraf Wajdi menjelaskan, perkara tersebut sudah dibincangkan bersama Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman bagi membendung sepenuhnya budaya buli di institusi berkenaan.
Tegasnya, pelantikan dari pesara tentera atau polis yang berkeupayaan baik bagi menerapkan elemen disiplin dan memantau secara lebih komprehensif dalam pembangunan sahsiah dan keperibadian pelajar di asrama.-airtimes.my
#MARA #pesara #polis #tentera #warden #MRSM #airtimes #Malaysia