JAKARTA, 17 April – Malaysia dan Indonesia terus memperkukuh hubungan pertahanan dua hala menerusi inisiatif strategik yang mampu memperkasakan diplomasi keselamatan serantau dalam menghadapi landskap cabaran yang semakin kompleks.
Fokus utama perbincangan tersebut dizahirkan semasa sesi kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar ke atas Menteri Pertahanan Republik Indonesia, TYT Sjafrie Sjamsoeddin dalam rangka lawatan rasmi ke Jakarta hari ini.
Menurut Markas ATM, pertemuan itu menjadi wadah penting bagi kedua-dua negara serumpun membincangkan secara mendalam inisiatif pertukaran anggota antara ATM dan Tentera Nasional Indonesia (TNI), selaras dengan usaha memperkukuh persefahaman dan keserasian antara kedua-dua angkatan.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi memperkasa diplomasi pertahanan antara Malaysia dan Indonesia yang bukan sahaja mempererat hubungan ketenteraan, tetapi juga menyumbang kepada kestabilan keselamatan serantau yang kini berdepan pelbagai ancaman tidak konvensional,” kata ATM dalam satu hantaran, pada Khamis.
Selain itu, peningkatan tahap latihan bersama turut dibincangkan dengan penekanan kepada keupayaan teknikal dan taktikal anggota, sekali gus memperkukuh kepercayaan dan kesiapsiagaan operasi ketenteraan bersama.
Kedua-dua pihak juga menyentuh potensi kerjasama dalam bidang industri pertahanan, khususnya dalam aspek penyelidikan dan pembangunan serta pengeluaran bersama senjata dan kenderaan taktikal.
Malaysia merupakan antara negara pengguna produk syarikat pertahanan Indonesia, PT Pindad (Persero), sekali gus membuka ruang untuk kerjasama lebih erat dalam industri strategik ini.
Sesi kunjungan turut disempurnakan dengan istiadat kawalan kuarter dan pertukaran cenderahati antara kedua-dua pemimpin, sebagai simbol keakraban dan komitmen tinggi terhadap hubungan pertahanan serumpun.
Panglima ATM turut diiringi Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota Markas ATM, Mejar Jeneral Dato’ Ts. Reizal Arif Tan Sri Ismail serta Penasihat Pertahanan Malaysia di Indonesia, Brigedier Jeneral Azrin Iskandar Zulkaply.
Lawatan ini mencerminkan iltizam berterusan Malaysia dan Indonesia untuk menyemai kerjasama erat dalam menangani cabaran keselamatan serantau, serta memperkukuh jaminan keamanan dan kestabilan geopolitik rantau Asia Tenggara secara kolektif.-airitms.my
#Malaysia #Indonesia #ATM #TNI #airitmes #pertahanan