Home Pertahanan dan KeselamatanTentera LautGabungan TLDM–Tentera Laut Thailand jayakan latihan VBSS di laut lepas

Gabungan TLDM–Tentera Laut Thailand jayakan latihan VBSS di laut lepas

by Nurulhuda
A+A-
Reset

LUMUT, 25 Ogos – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui kapal KD Lekir telah melaksanakan latihan bersama kru HTMS Krabi dari Tentera Laut Diraja Thailand dalam siri latihan Visit, Board, Search and Seizure (VBSS) di perairan terbuka.

Menurut kenyataan TLDM, latihan ini memberi tumpuan kepada aspek taktikal termasuk prosedur pemeriksaan, kawalan kapal serta koordinasi isyarat komunikasi antara kedua-dua pasukan.

Latihan bersama itu bertujuan meningkatkan kecekapan anggota dalam operasi penguatkuasaan maritim selain memperkukuh kepercayaan dan persefahaman dua hala antara Malaysia dan Thailand.

“Gabungan dua angkatan laut serantau ini melambangkan tahap kerjasama yang semakin utuh. Setiap gerakan dan isyarat difahami bersama, menandakan komitmen tinggi dalam memperkukuh keselamatan maritim,” kata kenyataan itu.

Latihan VBSS merupakan latihan maritim standard yang dilaksanakan oleh kebanyakan angkatan laut dunia. Ia berperanan penting dalam operasi antipenyeludupan, pencegahan cetak rompak, serta penguatkuasaan undang-undang maritim di laluan perdagangan antarabangsa.

Prosedur ini melibatkan pemeriksaan kapal mencurigakan di laut lepas dengan objektif mengawal, menyoal siasat dan mengesahkan identiti kru serta muatan kapal.

Selain itu, VBSS sering digunakan dalam operasi multinasional di bawah kerjasama ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menangani ancaman rentas sempadan di perairan strategik. Latihan ini menuntut tahap disiplin, komunikasi dan koordinasi tinggi antara pasukan yang terlibat.

TLDM menegaskan latihan kali ini juga selari dengan usaha memperkasakan hubungan pertahanan serantau khususnya di kawasan maritim yang menjadi laluan utama perdagangan antarabangsa.– airtimes.my

#tldm #HTMS #Malaysia #Thailand #pertahanan #airtimes

Related Articles

Leave a Reply