NEW DELHI, 25 OGOS – Organisasi Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan India (DRDO) berjaya melaksanakan ujian penerbangan pertama sistem pertahanan udara bersepadu di pesisir Odisha, sekali gus menandakan permulaan rasmi kepada program Mission Sudarshan Chakra.
Dalam kenyataan rasmi, DRDO memaklumkan sistem yang diuji dikenali sebagai Integrated Air Defence Weapon System (IADWS).
Ia menggabungkan tiga komponen utama iaitu peluru berpandu Quick Reaction Surface-to-Air Missile (QRSAM), sistem Very Short Range Air Defence (VSHORADS) dan senjata tenaga terarah berasaskan laser.
Semasa ujian, ketiga-tiga komponen tersebut berjaya memintas serta memusnahkan sasaran udara pada jarak dan ketinggian berbeza secara serentak. Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh, menyifatkan kejayaan itu sebagai titik penting dalam usaha memperkukuh keupayaan pertahanan udara buatan tempatan.
“Ujian ini membuktikan India berada di landasan tepat untuk melaksanakan Sudarshan Chakra sebagai perisai udara kebangsaan. Ia adalah pencapaian besar dalam agenda Atmanirbhar Bharat,” katanya dalam laporan media India selepas menyaksikan ujian tersebut.
Mission Sudarshan Chakra diumumkan oleh Perdana Menteri Narendra Modi ketika sambutan Hari Merdeka baru-baru ini. Program itu bertujuan mewujudkan sistem pertahanan udara berlapis yang melindungi infrastruktur strategik, kawasan awam dan lokasi penting negara menjelang tahun 2035.
Selain IADWS, projek lain turut digabungkan di bawah misi ini termasuk Project Kusha yang membangunkan sistem pertahanan udara jarak jauh sehingga 400 kilometer serta Akashteer iaitu rangkaian kawalan berasaskan kecerdasan buatan untuk menangkis serangan dron dan peluru berpandu.
Penganalisis pertahanan menyatakan sistem baharu ini bakal menjadi tulang belakang kepada pertahanan udara India dalam menghadapi ancaman moden termasuk peluru berpandu balistik dan serangan dron bersenjata. – airtimes.my
#global #airtimes #India #pertahanan #persenjataan
