KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa sebarang salah laku atau insiden melibatkan penahanan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak mencerminkan keseluruhan institusi pertahanan negara.
Beliau berkata, walaupun tindakan segelintir pihak boleh menjejaskan maruah dan integriti institusi, ATM kekal sebagai sebuah angkatan yang hebat, disegani dan diyakini rakyat dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Insiden-insiden yang melibatkan penahanan dan sebagainya yang menjejaskan integriti dan maruah angkatan tentera kita dan juga Kementerian,
“Jika benar didapati bersalah, ia sememangnya satu perkara yang mencemarkan imej ATM. Saya berharap tiada sesiapa akan menyalahgunakan pangkat atau kedudukan yang diamanahkan untuk melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang,
“Ingatlah, tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang. Saya ingin menegaskan bahawa kes ini tidak mencerminkan keseluruhan ATM,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat Kementerian Pertahanan, pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan 5 pegawai kanan ATM antara 10 ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Mohamed Khaled menegaskan, masyarakat tidak harus hilang keyakinan terhadap ATM kerana kes-kes berprofil tinggi yang berlaku hanya melibatkan individu tertentu dan tidak menggambarkan keseluruhan pasukan.
“ATM masih hebat, dan ATM masih disegani serta diyakini rakyat untuk memelihara kedaulatan negara,” tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau menyeru warga pertahanan agar mengekalkan imej bermaruah ATM sebagai simbol kedaulatan, integriti dan kemerdekaan negara, selain menghindarkan sebarang tingkah laku yang boleh mencalar reputasi pasukan.-airtimes.my
#airtimes #MINDEF #ATM #pertahanan #Malaysia
