Home Semasa Kerajaan naikkan kadar maksimum cuti rehat GCR dari 160 ke 180 hari

Kerajaan naikkan kadar maksimum cuti rehat GCR dari 160 ke 180 hari

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 30 Ogos – Kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memahami dengan beban tugas yang semakin besar dan mencabar, ramai anggota perkhidmatan awam yang tidak dapat menghabiskan cuti rehat tahunan mereka.

“Dengan kenaikan kadar maksimum GCR ini, membolehkan cuti tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai di masa persaraan,

“Sekaligus meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan kelak,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada anggota perkhidmatan awam sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 di Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Beliau turut mengumumkan, kerajaan juga bersetuju menambah kadar cuti rehat khas sebanyak 5 hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun.

“Tambahan cuti ini akan memberi manfaat kepada lebih kurang 500,000 guru bagi urusan-urusan yang mustahak dan kecemasan yang dibenarkan serta memberi peluang guru-guru mengumpul jumlah GCR yang lebih tinggi, “ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat.

“Jika sebelum ini cuti tanpa rekod bagi urusan kematian hanya tertakluk kepada kematian suami atau isteri, ibu kandung dan ibu mertua, bapa kandung dan bapa mertua serta anak sahaja,

“Penambahbaikan tafsiran ahli keluarga diperluas kepada kematian yang melibatkan adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam,” jelasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply