KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar dinobatkan sebagai ‘Pelakon Terbaik Malaysia’ selepas menawarkan kerjasama kepada parti pembangkang untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Wei Kiat berkata, lakonan Muhyiddin sememangnya terbaik sehingga lupa dirinya telah bersekongkol dengan UMNO yang kini dilabel sebagai parti korupsi sewaktu Langkah Sheraton.
“Seluruh negara tahu BN dan UMNO adalah parti korupsi, sekarang PN berlakon ambil berat tentang nasib rakyat, melamar Pakatan Harapan (PH) lawan BN bersama PN,
“PN atau Muhyiddin adalah antara pihak yang paling tidak layak cakap isu menyelamat negara, sebab PN yang menolong BN rampas kuasa melalui pintu belakang,
“Muhyiddin cuba memberi persepsi apa yang berlaku sekarang tiada kaitan dengan PN, tahap persembahan ini harus dinobat pelakon terbaik Malaysia,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Chua yang juga ADUN Rawang berkata, rakyat juga tidak akan melupakan ‘jasa’ bekas Perdana Menteri itu di waktu Langkah Sheraton.
“Beliau telah guna pandemik COVID-19 sebagai alasan halang Parlimen berfungsi, serta ajak parti pembangkang bekerjasama di saat akhir sebelum kerajaan PN ditumbangkan oleh BN,
“Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli telah umum Majlis Presiden PH sudah menolak bekerjasama dengan PN, sebab rakyat nak parti politik yang boleh membawa kestabilan dan bukan semata-mata bekerjasama untuk rampas kuasa,
“Dari Langkah Sheraton hingga hari ini, rakyat juga nampak PN adalah punca utama ketidakstabilan politik Malaysia,
Tegasnya, sekiranya PN ikhlas nak selamatkan negara, parti gabungan itu harus dibubarkan terlebih dahulu.
“Umum tahu PN adalah gabungan oportunis, mereka tiada pegangan nilai moral, tiada idea politik yang jelas, apa yang ada hanya jaga kepentingan diri,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Muhyiddin dilaporkan berkata kerjasama politik parti pembangkang dalam mendepani PRU15 adalah bagi menjamin masa depan negara agar tidak terus terjerumus ke dalam kancah kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa.
Menurutnya, cadangan itu disuarakan ekoran beliau berpendapat kepentingan negara lebih penting berbanding kepentingan parti.
Tambahnya, rakyat kini mahu melihat semua parti politik menawarkan sesuatu yang boleh menyelamatkan negara. -airtimes.my
