KUALA LUMPUR, 12 Dis – Pelantikan semula Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Menteri Luar Negeri akan melemahkan kedudukannya dalam parti dan menguntungkan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memindahkan Mohamad daripada Kementerian Pertahanan ke Kementerian Luar adalah bertujuan menyekat kemaraan Timbalan Presiden UMNO itu.
“Maka inilah yang Datuk Seri Anwar Ibrahim lakukan untuk bantu Zahid Hamidi. Demi menyekat kemaraan Mohamad (Tok Mat), maka Anwar hantar dia ke Kementerian Luar, iaitu sebuah Kementerian yang penting untuk negara tapi tidak strategik untuk individu yang satu tangga saja lagi boleh menyanggah Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO,
“Kementerian Luar tidak strategik bagi Tok Mat kerana beliau akan terpaksa berada di luar negara untuk tempoh yang lama dan ini membuka ruang untuk Zahid terus mencatur sokongan untuk dirinya sendiri dalam UMNO,
“Di bawah Kementerian Luar juga tidak banyak agensi yang Tok Mat boleh gunakan untuk bagi payung kepada akar umbi UMNO. Maka nilai Tok Mat dalam parti akan turun,” dakwa Wan Saiful dalam satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Tegasnya, walaupun melakukan khidmat penting untuk negara, kedudukan Tok Mat dalam UMNO sedang dilemahkan oleh Zahid.
“Anwar bantu mencaturkan untuk melemahkan rival Zahid sebab Zahid mungkin sudah mula rasa insecure juga,” ujarnya lagi.
Dalam hantaran yang sama, Wan Saiful juga mendakwa Anwar gagal untuk mengotakan janjinya untuk mengecilkan saiz kabinet sebelum ini.
Menurutnya, bilangan Menteri sudah bertambah sehingga ada kementerian telah dipecahkan untuk membolehkan sokongan dibeli melalui jawatan dan lantikan.
“Dulu Anwar janjikan saiz Kabinet dikecilkan. Kita lambai tangan dan ucapkan ‘ta-ta’ kepada janji ini yang sudah ke laut,
“Selepas ini sudah pasti sokongan terus dibeli dengan lantikan ke agensi-agensi hingga lah ke peringkat kampung-kampung,” tegasnya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri telah mengumumkan pelantikan 5 menteri dan 5 timbalan menteri, termasuk 4 muka baharu serta penampilan semula 5 bekas menteri dalam rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Anwar turut mengumumkan penyusunan semula kementerian berdasarkan keperluan semasa melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Manakala, Kementerian Komunikasi dan Digital pula dipecahkan kepada masing-masing Kementerian Digital serta Kementerian Komunikasi. -airtimes.my
#politik #Mohamad #Zahid #UMNO #airtimes