Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PAS ucap takziah, puji tindakan pantas Menteri Pertahanan kendali tragedi Lumut

PAS ucap takziah, puji tindakan pantas Menteri Pertahanan kendali tragedi Lumut

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Apr – PAS memuji tindakan pantas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam mengendalikan tragedi nahas 2 helikopter terhempas sehingga mengorbankan 10 anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Selasa.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya turut mengalu-alukan tindakan beliau termasuk membatalkan acara sambutan ulang tahun TLDM ke-90 dan digantikan dengan majlis tahlil serta doa selamat pada Jumaat ini.

“PAS juga menyambut baik jaminan beliau untuk bukan sahaja membantu menguruskan jenazah mangsa, tetapi juga mengurus semua manfaat serta faedah yang sewajarnya diterima oleh balu dan keluarga mangsa bagi menjaga kebajikan mereka,

“Walaupun tidak menetapkan had masa untuk menyediakan laporan interim kejadian, jaminan menteri untuk melakukannya, selain keputusan kementerian untuk menubuhkan sebuah lembaga siasatan TLDM bagi mengenal pasti punca kejadian adalah langkah yang tepat dan sewajarnya disegerakan tanpa lengah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menyatakan, PAS merakamkan rasa sedih dan terkejut atas insiden kemalangan helikopter yang mengorbankan 10 orang anggota TLDM dalam raptai lintas hormat sempena Sambutan Ulang Tahun ke-90 TLDM di Pangkalan TLDM Lumut awal pagi semalam itu.

Menurutnya, kehilangan serentak anggota seramai 10 orang itu yang rata-rata dilaporkan berusia bawah 40 tahun adalah kerugian besar kepada pasukan, negara serta seluruh rakyat Malaysia dan lebih-lebih lagi keluarga mangsa terbabit.

“PAS mengucapkan takziah kepada keluarga semua anggota terlibat dengan harapan mereka akan menemui kekuatan untuk mengharungi kehilangan ini dengan tabah dan sabar, selain mendoakan kesejahteraan dan kebaikan kepada mangsa,” ujarnya lagi.

Dalam kejadian 9.32 pagi Selasa, Helikopter Operasi Maritim HOM (M503-3) dan Fennec (M502-6) masing-masing dilaporkan berlanggar antara satu sama lain di ruang udara sebelum terhempas di Pangkalan TLDM Lumut serta mengorbankan 10 mangsa. -airtimes.my

#AirTimes #Lumut #TLDM #Fennec #AW139 #PAS #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply