KUALA LUMPUR, 18 Feb – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meluahkan rasa kecewa terhadap kegagalan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, meskipun ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, masih wujud kecenderungan dalam kalangan pihak tertentu yang lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris dalam majlis-majlis rasmi, meskipun majoriti hadirin terdiri daripada rakyat Malaysia yang memahami bahasa Melayu.
“Apa berlaku hari ini bercelaru, kedai di bandar, ibu negara semua bahasa ada, bahasa Melayu kadang-kadang halus (kecil) sahaja, bahasa Inggeris besar (walaupun orang) Inggeris dah tak ada,
“Dalam majlis orang putih ada tiga ekor sahaja, yang orang kita ni ramai semua boleh berbahasa Melayu, tapi cakap Inggeris juga. Surat rasmi, bicara di mahkamah masih lagi bahasa Inggeris,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa.
Abdul Hadi turut membandingkan Malaysia dengan negara lain yang tegas dalam penggunaan bahasa kebangsaan mereka, termasuk ketika berucap di pentas antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kita lihat bangsa lain pergi ke (sidang) PBB, pemimpin mereka berucap dalam bahasa sendiri. Pemimpin kita tidak, berucap dalam bahasa Inggeris. Kecuali negeri yang dijajah pemikiran seperti Amerika Latin yang cakap Sepanyol, tempat Inggeris cakap Inggeris juga,
“Tapi negeri yang ada identiti, ada jiwa bangsa, cakap bahasa dia. Oleh sebab itu, memperkasakan bahasa kebangsaan ini sangat penting dan perlu disedari,” tegasnya lagi.
Pada masa sama, beliau yang juga membangkitkan keadaan di mana papan tanda di bandar-bandar lebih menonjolkan bahasa asing berbanding bahasa Melayu, sekali gus mencerminkan kelemahan dalam usaha memperkasakan identiti kebangsaan.
“Bahasa Melayu ini bahasa rasmi. Dalam masa sama, kita tak larang belajar bahasa lain, boleh untuk tuntut ilmu,” ujarnya lagi. -airtimes.my
#semasa #BahasaMelayu #AbdulHadi #Malaysia #airtimes