Home Teknologi Pertahanan Satelit Penderiaan Jauh Negara bakal beroperasi pada 2028

Satelit Penderiaan Jauh Negara bakal beroperasi pada 2028

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 18 FEB – Program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN)  dijangka mula beroperasi pada tahun 2028, mengambil kira tempoh pembangunan selama tiga tahun selepas proses pemilihan pembida diselesaikan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata, PSPJN ini dilaksanakan melalui kaedah kerjasama awam-swasta (Public-Private Partnership, PPP).

“Pendekatan ini akan membuka peluang kepada sektor swasta untuk terlibat dalam pembangunan satelit dan memastikan penglibatan industri tempatan khususnya dalam kepakaran sumber manusia dan penggunaan fasiliti teknologi  angkasa tempatan,

“Mengambil kira tempoh pembangunan satelit selama 3 tahun, satelit PSPJN dijangka akan memulakan operasi pada tahun ke-4, dengan jangkaan mula beroperasi pada tahun 2028,” katanya pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman yang bertanya mengenai status semasa pembinaan PSPJN di bawah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan bilakah ia bersedia dilancarkan, susulan UzmaSAT-1, satelit beresolusi tinggi telah dilancarkan kumpulan UZMA Berhad tahun ini.

Mengulas lanjut, Chang berkata, program satelit ini sudah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 14 Ogos 2019 dengan tujuan memperkukuh keupayaan negara sekali gus memastikan penglibatan industri tempatan dalam pembangunan satelit.

“Selain meminimumkan perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan risiko teknologi, pendekatan PPP ini membuka potensi baharu kepada sektor swasta tempatan untuk meneroka bidang seperti pembuatan, pelancaran dan penyediaan perkhidmatan satelit,” tambahnya pada Selasa.

Selain itu, beliau memaklumkan, kerajaan kini berada dalam fasa rundingan dengan syarikat pembida yang telah terpilih bagi memastikan setiap keperluan projek dipenuhi secara sistematik.

“Dalam usaha menjamin keberkesanan dan kejayaan Program PSPJN, kerajaan bersama syarikat pembida akan mengadakan Makmal Pengurusan Nilai pada 18 hingga 21 Februari 2025,

“Setelah satelit mula beroperasi, pembayaran off-take akan dibuat secara berkala dan berdasarkan jumlah data yang diterima dan diperakui oleh pihak Kerajaan,” ujarnya lagi.  -airtimes.my

#MYSA #Malaysia #Satelit #Teknologipertahanan #MOSTI #AirTimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?