KUALA LUMPUR, 18 FEB – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), mengadakan program bersama komuniti nelayan dalam meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama antara agensi penguatkuasaan dengan komuniti maritim.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, program melibatkan orang awam tersebut dijalankan bagi mendapatkan sumber maklumat risikan yang lebih komprehensif.
Menurutnya lagi bagi menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut), maklumat-maklumat tersebut mampu membantu agensi penguatkuasaan melaksanakan operasi dengan berkesan.
Selain itu, beliau turut memaklumkan, rondaan menerusi penggunaan aset seperti kapal dan bot peronda serta penugasan pesawat udara turut dipergiatkan selain memanfaatkan teknologi canggih seperti sistem pengawasan laut (SWASLA).
“Pendekatan ini membantu dalam memastikan aktiviti pemantauan dapat dijalankan secara lebih menyeluruh dan efisien,” katanya dalam penyataan jawapan lisan di Parlimen Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, operasi penguatkuasaan rutin secara harian menerusi pelaksanaan OP IMAN di kawasan perairan Terengganu turut dipergiatkan.
Beliau menjelaskan, ini bagi memelihara undang-undang dan ketenteraman, mengekalkan keamanan, kesejahteraan, dan keselamatan, mencegah dan mengesan jenayah, menangkap serta mendakwa pesalah, serta mengumpul risikan keselamatan di Zon Maritim Malaysia (ZMM).
“KDN juga komited untuk terus memperkasakan aset strategik maritim negara dengan melaksanakan perolehan serta menaik taraf aset APMM menerusi perolehan dua (2) buah kapal MultiPurpose Mission Ship, empat (4) buah Kapal New Generation Patrol Craft, 27 buah bot pemintas dan empat (4) buah helikopter AW189 bagi melaksanakan pemantauan maritim melalui udara,” nyata Saifuddin.
Susulan, perolehan tersebut bagi meluaskan lagi tahap kesiapsiagaan agensi penguatkuasaan untuk mengawal perairan negara.
Sehubungan itu, APMM juga melaksanakan operasi bersepadu bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Dalam Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Jabatan Imigresen Malayia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Operasi secara berkala menerusi pelaksanaan OP NAGA BARAT ini, bertujuan untuk mengekang aktiviti pencerobohan vesel nelayan asing (VNA), terutamanya dari negara Vietnam,” jelasnya.
Operasi tersebut melibatkan kerjasama dari pelbagai Agensi bagi memastikan tindakan penguatkuasaan adalah lebih menyeluruh dan berkesan. -airtimes.my
#AirTimes #APMM #KDN #Maritim #OPNAGABARAT #Terengganu #Malaysia