Home Pertahanan dan Keselamatan F/A-18 Hornet Kuwait pada era Trump: Dekat atau jauh?

F/A-18 Hornet Kuwait pada era Trump: Dekat atau jauh?

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 18 FEB – Perolehan F/A-18 Hornet dari Kuwait sememangnya menjadi tanda tanya berikutan perubahan tampuk pimpinan dan polisi kerajaan baharu Amerika Syarikat.

Semenjak mengambil alih kepimpinan sebagai Presiden AS, Donald Trump dilihat begitu agresif untuk mengubah beberapa polisi negara kuasa besar itu. Ini termasuklah pemberian bantuan ketenteraan kepada Ukraine.

Walaupun belum ada tanda-tanda menunjukkan bahawa F/A-18 Hornet Kuwait akan menjadi milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) secara sah, sumber menyatakan bahawa proses perolehan ini masih lagi berjalan.

“Pemilikan F/A-18 Hornet Kuwait sudah tentu sedikit terkesan dengan keadaan semasa di Amerika Syarikat,

“Memandangkan pentadbiran AS masih baru, mungkin sedikit masa diperlukan untuk stabil,

“Mungkin selepas situasi kembali stabil, mereka akan memberikan fokus kepada perkara ini,” katanya kepada Air Times.

Perolehan F/A-18 Kuwait telah pun lama berkisar dalam dunia pertahanan tanah air. Pun begitu, terdapat pelbagai kekangan sehingga menyebabkan proses perolehan ini dilihat ‘tergendala’.

Isu politik dalaman Kuwait pada satu ketika dahulu merupakan antara faktor penyumbang di mana individu yang bertanggungjawab untuk membuat rundingan dan keputusan bertukar-tukar.

Selepas situasi semasa di Negara Teluk itu kembali stabil, rundingan perolehan kembali berjalan lancar. Ini dengan melihat pertemuan wakil kerajaan kedua-dua negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melihat dengan lebih dekat F/A-18 Hornet semasa melawat Kuwait pada tahun lalu. FB Khaled Nordin

Ini termasuklah pertemuan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan Duta Kuwait. Beliau turut melihat sendiri keadaan pesawat F/A-18 Hornet Kuwait di Pangkalan Udara Ahmad Al-Jaber pada Oktober tahun lalu.

Menurut sumber, walaupun pihak Kuwait bersetuju untuk memberikan F/A-18 Hornet kepada Malaysia, ia perlu melalui proses yang memerlukan persetujuan pihak Amerika Syarikat.

Ini dengan melihat penyerahan pesawat F-16 kepada Argentina yang perlu melalui Foreign Military Sales (FMS) pada November tahun lalu.

Menyentuh keadaan semasa perolehan F/A-18 Hornet Kuwait, sumber menjelaskan pihak pengeluar dan berkaitan dari Amerika Syarikat menyatakan mereka mahu penyerahan F/A-18 Hornet Kuwait kepada Malaysia berjalan lancar.

Air Times difahamkan perolehan F/A-18 Hornet Kuwait merupakan salah satu opsyen sebagai stop gap  untuk mengisi keperluan TUDM dalam Fasa 1 Cap 55.

Sekiranya berjaya, perolehan dari Kuwait akan memberikan sedikit kelegaan kepada pihak tentera udara yang memerlukan jumlah kekuatan pesawat tempur pada ketika ini.

Namun begitu, melihat kepada pola dan corak pemerintahan Trump, Malaysia perlu mengambil lebih banyak inisiatif bagi merealisasikan perolehan F/A-18 Hornet dari Kuwait. Tambahan pula, Boeing telah pun menutup pengeluaran Hornet dan Super Hornet. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Kuwait #Hornet

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?