BALI, 18 FEB – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengatur gerak dua buah kapal iaitu KD Kelantan dan KD Selangor dalam penyertaan Latihan Tentera Laut Pelbagai Hala Komodo (MNEK) 2025 anjuran Tentera Nasional Indonesia (TNI – AL).
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada (MPA) Timur memaklumkan, langkah tersebut merupakan usaha memperkukuhkan hubungan dan kerjasama pertahanan maritim di peringkat antarabangsa.
“Penyertaan Malaysia dalam latihan multilateral seperti (MNEK) membolehkan TLDM memperkukuh hubungan kerjasama antara negara-negara peserta yang terlibat dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim dan pengurusan Humanitarian Asistance and Disaster Relief (HADR),” jelas MPA Timur dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah MPA Timur, MNEK yang berlangsung bermula sejak 15 hingga 22 Februari 2025 itu juga berupaya memupuk persefahaman dan interoperability yang lebih baik antara negara-negara yang terlibat.
“Peserta dapat berinteraksi, bertukar pengetahuan dan mempelajari taktik baharu serta Standard Operating Procedure (SOP) operasi negara masing-masing sesuai senario dan geopolitik semasa,” jelas kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, ia merupakan platform terbaik dalam memastikan TLDM sentiasa bersedia dan mampu menghadapi cabaran maritim yang semakin kompleks selain membantu dalam membina Confidence Building Measure.
“Sekaligus ia dapat meningkatkan keupayaan TLDM dalam menangani ancaman keganasan, penyeludupan, perompakan dan ancaman maritim lain yang boleh menggangu kestabilan serantau,
“Ianya juga mencerminkan komitmen Malaysia dalam mempromosikan kestabilan, keamanan dan menjaga keselamatan maritim di rantau ini,” jelas MPA Timur lagi.
Terdahulu, Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Dato’ Khir Junaidi Idris telah melaksanakan perjumpaan bersama Panglima Tentera Laut dari Indonesia, Brunei, New Zealand dan Australia serta ketua delegasi dari Rusia, Sepanyol dan Bangladesh dalam sesi Bilateral Meeting, semalam.
Pertemuan itu turut membincangkan perihal kerjasama pertahanan maritim sedia ada serta perancangan masa hadapan dalam usaha memperkukuhkan hubungan baik antara negara.
Khir Junaidi yang juga Ketua Delegasi TLDM juga telah menghadiri Majlis Perasmian MNEK 5/25.
Ia disempurnakan oleh Kepala Staf Angkatan Laut (KASAL), Laksamana TNI Dr. Muhammad Ali di Tanjung Benoa, Bali, Indonesia.
Selesai majlis perasmian, KASAL bersama perwakilan dari negara terlibat belayar bersama KRI Dr. Radjiman Wedyodiningrat bagi menyaksikan International Fleet Review yang disertai 37 buah kapal termasuk KD Kelantan dan KD Selangor. -airtimes.my
#AirTimes #TLDM #KOMODO #MNEK #Indonesia #Malaysia