KUALA LUMPUR, 26 Jun – PAS menegaskan bahawa pencapaian mana-mana anak Malaysia, termasuk pelantikan bersejarah Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), perlu diraikan oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan bukannya dipersoal atau diperlekeh.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan berkata, parti itu memandang serius kenyataan kontroversi yang dimuat naik oleh seorang pemimpin peringkat kawasan PAS di media sosial, yang seolah-olah mempersoalkan pelantikan tersebut berdasarkan latar belakang kaum.
Katanya, catatan tersebut adalah pandangan peribadi yang tidak mewakili parti, malah bertentangan sama sekali dengan dasar, ketetapan dan wawasan PAS.
“Sikap perkauman atau rasisme dalam apa jua bentuk tidak ada tempat dalam PAS dan tidak cocok dengan budaya besar serta cita-cita kebangsaan negara ini,
“Pelantikan Datuk Johny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral ATM adalah peristiwa bersejarah yang sepatutnya diraikan oleh semua rakyat, bukannya dipersoal dan diperlekeh semata-mata kerana latar belakang kaumnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, media melaporkan Zaharuddin mempersoalkan pelantikan Johny Lim sebagai Leftenan Jeneral ATM semata-mata hanya kerana beliau berketurunan Cina.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, kebolehan, pencapaian, kemajuan dan kejayaan mana-mana anak Malaysia dalam apa jua bidang adalah berita gembira untuk semua, bukan sebaliknya.
Tegasnya, PAS sentiasa komited kepada prinsip kepelbagaian kaum dan agama sebagai asas penting perpaduan nasional, selaras dengan prinsip-prinsip Rukun Negara.
“Perbezaan latar belakang tidak boleh dijadikan alasan untuk berlaku tidak adil atau menyekat kemajuan mana-mana individu,” tegasnya lagi.
Berikutan itu, PAS juga terus memberi peringatan supaya ahlinya kekal cermat dan berhati-hati dalam sebarang tindakan masing-masing.
“Justeru PAS tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli-ahlinya yang melanggar disiplin parti termasuk tingkah laku tidak sensitif yang mencemari cita-cita perpaduan negara dan menimbulkan rasa tidak harmoni serta syak wasangka dalam masyarakat,” ujarnya lagi.-airtimes.my
#pertahanan #LtJen #ATM #PAS #kaum #airtimes #Malaysia