Dalam arus evolusi teknologi dron yang kian menjadi nadi dalam taktik tempur moden, muncul satu lagi inovasi dari medan hadapan iaitu dron FPV (first person view) berpanduan gentian optik.
Senjata kecil yang membawa impak besar ini berupaya mengelak daripada dikesan atau diganggu, menjadikannya satu ancaman baharu terhadap sistem anti-dron konvensional.
Berbeza dengan dron biasa yang dikawal melalui gelombang radio, varian ini menggunakan kabel gentian optik secara fizikal bagi penghantaran kawalan dan visual masa nyata.
Diperkenalkan secara aktif oleh Rusia dalam Perang Rusia-Ukraine sejak awal 2024, dron ini menandakan perubahan besar dalam pendekatan serangan berasaskan FPV, khususnya dalam kawasan yang dipenuhi gangguan isyarat elektronik (EW).
Kabel gentian optik yang digunakan lazimnya berukuran antara 5 hingga 20 kilometer, namun beberapa prototaip yang diuji dilaporkan mampu mencapai jarak sehingga 50 kilometer.
Dalam persekitaran tempur yang penuh dengan penjam dan sistem pemintas, sambungan berwayar memberikan kelebihan taktikal yang sukar disaingi oleh dron kawalan radio biasa.
Mengatasi kelemahan dron FPV konvensional
Berbeza daripada dron konvensional, dron gentian optik tidak memancarkan sebarang isyarat radio, menjadikan ia kebal terhadap gangguan isyarat frekuensi. Kawalan dan penghantaran video dilakukan sepenuhnya melalui kabel fizikal yang bersambung secara terus kepada operator.
Penggunaan dron gentian optik boleh dilihat melalui perang Ukraine dan Rusia yang bergantung sepenuhnya kepada perang elektronik (EW) untuk menangkis serangan dron. Penjam (jammer) digunakan secara meluas di kawasan parit dan kenderaan, manakala penjam bersaiz poket turut dibekalkan kepada anggota infantri sebagai perlindungan individu.

Dron FPV konvensional masih menjadi tulang belakang operasi pemantauan taktikal oleh pasukan tentera di medan terbuka. Namun, kebergantungan kepada isyarat radio menjadikannya lebih mudah diganggu melalui sistem perang elektronik (EW), berbeza dengan dron gentian optik yang kini muncul sebagai alternatif lebih kebal terhadap jamming. Foto FB: U.S. Army
Namun begitu, pendekatan ini kurang berkesan terhadap dron berpanduan kabel. Tanpa isyarat radio untuk dipintas, dron gentian optik tidak dapat diganggu dengan kaedah jamming biasa, menjadikannya lebih sukar dikesan dan dineutralkan.
Selain daya tahan terhadap gangguan elektronik, dron gentian optik turut menawarkan kualiti siaran video yang lebih stabil, sambungan kawalan yang rendah kelewatan (latency), serta pengoperasian senyap tanpa mendedahkan lokasi operator kepada pemantauan isyarat.
Dron ini juga memerlukan tenaga yang jauh lebih rendah untuk kekal beroperasi, membolehkannya bersembunyi di lokasi sasaran dan menunggu masa sesuai untuk menyerang.
Cabaran kepada sistem pertahanan C-UAS moden
Kehadiran dron gentian optik ini turut mencabar keberkesanan sistem Counter-Unmanned Aircraft Systems (C-UAS) yang digunakan secara meluas oleh pasukan keselamatan di seluruh dunia.
Sistem C-UAS lazimnya berfungsi melalui dua pendekatan utama iaitu pengesanan dan tindak balas. Dron konvensional sering dikesan melalui isyarat radio atau komunikasi video, dan kemudian diganggu menggunakan penjam frekuensi, serangan siber, atau pemintasan isyarat GPS.
Namun, dron berpanduan gentian optik tidak memancarkan sebarang isyarat radio, sekali gus menjadikannya tidak terjejas oleh kaedah gangguan elektronik konvensional.
Sebaliknya, C-UAS moden perlu bergantung kepada kaedah pengesanan berasaskan radar mikro, kamera elektro-optik (EO/IR), dan dalam sesetengah kes, analitik pintar atau AI untuk mengenal pasti bentuk dan pergerakan fizikal dron.
Tindakan balas terhadap dron jenis ini memerlukan pendekatan fizikal termasuk penggunaan senjata tenaga terarah seperti laser, peluru berpandu mini, atau dron pemintas yang boleh menghancurkan sasaran secara langsung.
Dalam erti kata lain, walaupun dron gentian optik berjaya mengelak daripada serangan perang elektronik, ia masih boleh ditewaskan melalui tindak balas kinetik.
Namun begitu, proses ini memerlukan sistem pengesanan dan serangan yang jauh lebih kompleks dan mahal berbanding pendekatan tradisional.
Impak kepada ekosistem dan keselamatan jangka panjang
Dalam aspek lain, penggunaan kabel gentian optik secara besar-besaran turut menimbulkan kebimbangan terhadap pencemaran plastik di medan perang.

Kabel gentian optik untuk dron FPV kini dihasilkan secara besar-besaran bagi menyokong operasi peperangan moden. Foto Telegram: PGI Technology
Kebanyakan kabel ini diperbuat daripada polimer sintetik seperti poly (methyl methacrylate) dan fluoropolimer yang sukar terurai secara semula jadi, sekali gus berpotensi menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.
Perkara ini mencetuskan perbincangan lebih luas berkenaan kesan jangka panjang teknologi ketenteraan terhadap alam sekitar, yang semakin menjadi tumpuan komuniti antarabangsa.
Kemunculan dron gentian optik di medan perang menandakan satu perubahan besar dalam taktik dan teknologi peperangan udara.
Dron ini bukan sahaja mencabar keberkesanan sistem gangguan isyarat, malah memaksa pembangunan sistem anti-dron yang lebih kompleks dan menyeluruh.
Dalam dunia ketenteraan hari ini, siapa yang menguasai teknologi, dialah yang memiliki kelebihan dan dron gentian optik mungkin menjadi contoh terbaik bagaimana inovasi ringkas mampu mengubah keseimbangan kuasa di medan perang.-airtimes.my
#AirTimes #TeknologiPertahanan #Drone #FPV #FiberOpticDrone #PeperanganModen #C-UAS #Jammer