SUBANG, 26 JUN – Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Sri Muhamad Norazlan Aris dilantik sebagai Panglima Tentera Udara (PTU) yang ke-21, berkuat kuasa hari ini.
Lantikan ini dibuat bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan yang telah berkhidmat lebih 40 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pelantikan Muhamad Norazlan dilaksanakan dalam Upacara Serah Terima Tugas di Pangkalan Udara Subang dengan disaksikan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar.

Upacara Kenaikan Pangkat Muhamad Norazlan sebagai Jeneral sempena Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Udara Ke-20 (Foto: Airtimes/Zulhaizi)
Turut diadakan, Upacara Kenaikan Pangkat Muhamad Norazlan sebagai Jeneral dan Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Udara Ke-20.
Muhamad Norazlan, 58, yang merupakan anak kelahiran Kota Tinggi, Johor menjalani latihan sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi pada 1985 hingga 1987.
Beliau kemudiannya memulakan latihan penerbangan di bawah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 1988 di Alor Setar.
Muhamad Norazlan telah menerbangkan pelbagai jenis pesawat pejuang seperti Aermacchi MB3394, A4PTM Skyhawk, Mikoyan Guverich MIG29N/UB dan Sukhoi 30MKM sepanjang kerjayanya.

Upacara Serah Terima Tugas di Pangkalan Udara Subang dengan disaksikan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar (Foto: Airtimes/Zulhaizi)
Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam TUDM antaranya Komander Pangkalan Udara Gong Kedak, Timbalan Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan (P&P), Ketua Staf di Markas Pemerintahan Operasi Udara, Panglima Bantuan Udara dan Panglima Operasi Udara sebelum menjawat jawatan Timbalan Panglima Tentera Udara sejak 28 Jun 2022.
Terdahulu, satu perbarisan istiadat telah diadakan sebagai penghargaan kepada Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan yang telah tamat tempoh perkhidmatan dalam TUDM. Beliau telah menyandang jawatan PTU sejak 7 Mac 2022, menggantikan Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad yang bersara wajib.
Seramai 24 pegawai dan 403 anggota yang diketuai Leftenan Kolonel Muhd Faizal Abdul Rahim TUDM telah menyertai perbarisan khas kali ini. -airtimes.my
#TUDM #PTU #Panglima #ATM #Pertahanan #Malaysia #Airtimes