if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Masa depan TLDM bergantung kepada penyertaan generasi muda – Panglima

Masa depan TLDM bergantung kepada penyertaan generasi muda – Panglima

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 19 APRIL — Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menaruh harapan besar terhadap generasi muda untuk mengoperasikan aset-aset canggih dan berteknologi tinggi milik angkatan laut negara, seiring perkembangan era digital dan keperluan kemahiran teknikal yang semakin kompleks.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk (Dr) Zulhelmy Ithnain berkata, keupayaan TLDM masa depan bergantung kepada penglibatan generasi baharu yang celik teknologi, khususnya dalam mengendalikan sistem peperangan canggih dan kapal-kapal moden yang sedang dalam perolehan.

“Kapal-kapal yang akan kita peroleh dan sistem peperangan kita yang akan datang semuanya berteknologi tinggi. Kami yang lama-lama ini ‘old school’. Bidang teknologi ini memang lebih sesuai untuk generasi baru,

“Jadi, anggota-anggota muda yang dipanggil generasi millennial inilah yang kita galakkan untuk sertai TLDM, kerana bidang ini sangat mencabar,” katanya pada Sabtu.

Menurut beliau, sambutan Hari TLDM yang bakal diraikan pada 27 April ini juga menjadi platfom untuk mempromosikan kerjaya dalam angkatan laut, sekali gus membuka peluang kepada orang awam untuk melihat sendiri keupayaan dan peranan TLDM dalam mempertahankan perairan negara.

“Hari Terbuka Armada akan diadakan di Pangkalan TLDM Lumut. Ini peluang untuk orang awam naik ke kapal dan lihat sendiri apa yang kita buat. Akan ada demonstrasi, pameran dan pelbagai aktiviti lain,

“Pangkalan ini di tepi laut, jadi panas dan akan sesak. Perlu toleransi yang tinggi, dan jangan lupa minum air secukupnya,” tambahnya.

Dalam pada itu, Zulhelmy berkata, sambutan Hari TLDM kali ini akan lebih meriah berbanding tahun lalu yang disambut secara sederhana susulan insiden tragik ketika latihan perbarisan.

Namun begitu, sambutan tahun ini tetap tidak diadakan secara besar-besaran, sebaliknya lebih tertumpu kepada aktiviti signifikan dan berimpak.

“Yang paling besar dalam masa terdekat ini adalah LIMA di Langkawi pada bulan Mei nanti, hujung bulan Mei,

“Pada bulan Ogos, kita akan menganjurkan Asian Navy Chief Meetings di Pulau Pinang, bersekali dengan latihan tentera laut yang melibatkan semua negara-negara ASEAN dan International Fleet Review sempena peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri TLDM di Markas Tentera Laut Kapal Diraja (KD) Sri Gombak, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Majlis Sambutan Hari Raya TLDM hari ini diadakan dalam tiga sesi dan dimulakan dengan kehadiran warga Markas Tentera Laut serta jemputan dari Kementerian Kerja Raya (KJP), disusuli sesi bersama bekas-bekas Panglima Tentera Laut sebelum ditutup dengan acara khas meraikan veteran TLDM.

“Ini juga satu peluang untuk anggota-anggota yang telah bersara itu berjumpa satu sama lain. Bukan senang nak kumpulkan mereka di satu tempat dan waktu yang sama,” katanya lagi. – airtimes.my

#AirTimes #TLDM #Malaysia #Panglima

Related Articles

Leave a Reply