Home Pertahanan dan Keselamatan92 tahun TLDM: ‘Kita wujud kerana armada’, kedaulatan dan kemakmuran negara bermula dari samudera

92 tahun TLDM: ‘Kita wujud kerana armada’, kedaulatan dan kemakmuran negara bermula dari samudera

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Setiap tahun, tarikh 27 April disambut oleh warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau lebih dikenali sebagai ‘The Navy People’ bagi memperingati penubuhan pasukan angkatan laut negara.

Sepanjang penubuhannya yang menghampiri satu abad, pelbagai keringat dan jerih perih serta pengorbanan telah ditaburkan oleh anggota tentera laut.

Bermula daripada sebuah pasukan kecil yang dikenali sebagai Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Negeri-negeri Selat (SSNVR) pada tahun 1934, TLDM telah berevolusi menjadi perisai kedaulatan negara di lautan.

Di sebalik kemegahan seragam putih dan cogan kata “Sedia Berkorban”, terdapat satu kalimat yang sentiasa berkait rapat dengan warga TLDM: “We exist because of the fleet” (Kita wujud kerana armada).

Kita wujud kerana armada dari sudut kenegaraan

 

Kalimat ini sudah pastinya memberikan penekanan bahawa tentera laut tidak akan wujud tanpa armadanya. Armada merupakan satu formasi besar kapal perang yang diatur di bawah satu angkatan.

Walaupun kata-kata “Kita wujud kerana armada” berkait rapat dengan TLDM, adalah wajar kalimat ini turut didalami oleh rakyat Malaysia.

Sebagai sebuah negara maritim yang dikelilingi oleh lautan yang memisahkan Semenanjung dan Borneo, kemandirian (survival) ekonomi dan kedaulatan geostrategik Malaysia bergantung sepenuhnya kepada kebebasan dan keselamatan laluan lautnya.

Tanpa TLDM, kelancaran pelayaran perdagangan negara mungkin terdedah kepada krisis keselamatan, seperti senario ketegangan yang sedang dihadapi di Timur Tengah.

Mungkin kawasan perairan negara akan dikuasai oleh pihak luar. Segala pergerakan dan pelayaran perdagangan mahupun aktiviti ekonomi di kawasan perairan negara akan terjejas.

Kesan sebegini tidak boleh dilihat pada satu sudut semata-mata.

Sebagai sebuah negara maritim, Laluan Perhubungan Laut (Sea Line of Communication, SLOC) merupakan tunjang dan nadi kepada negara. Tunjang dan nadi ini sentiasa terus hidup dan memberikan sumber kehidupan kepada Malaysia.

Dari sudut sejarah, beberapa kerajaan maritim (kerajaan berasaskan perdagangan laut) telah wujud di negara ini, lama sebelum penjajahan dan juga pembentukan Malaysia. Faktor ini adalah berdasarkan kedudukan strategik dan juga laluan perdagangan laut yang penting.

Selat Melaka dan Laut China Selatan telah menjadi bukti kepada kepentingan perairan ini kepada negara. Perairan lain yang di sekeliling Malaysia tidak kurang pentingnya.

TLDM pikul tanggungjawab yang besar

Bagi menterjemahkan kepentingan keselamatan laluan laut ini secara nyata, kita perlu melihat kepada asas strategik identiti maritim dan kepentingan ekonomi Malaysia secara berangka. Pada masa ini, TLDM memikul tanggungjawab besar untuk melindungi aset maritim negara yang dianggarkan bernilai RM42 bilion. Perlindungan ini amat kritikal terutamanya bagi sektor minyak dan gas yang menyumbang sebanyak 24 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, dengan unjuran nilai pengeluaran mencecah RM288.1 bilion.

Selain itu, kedudukan Selat Melaka sebagai antara laluan perkapalan tersibuk di dunia turut menuntut pengawasan keselamatan yang berterusan. Selat ini mengendalikan 30 peratus daripada jumlah perdagangan global dan dilalui oleh lebih 95,000 buah kapal setiap tahun. Kelancaran operasi di laluan ini secara langsung memacu prestasi pelabuhan negara, membolehkan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas masing-masing diiktiraf sebagai pelabuhan kontena ke-10 dan ke-15 tersibuk di dunia.

Dari sudut yang berbeza, kestabilan perairan negara turut menjadi nadi kepada sektor pelancongan marin. Sebagai contoh, industri pelancongan di pesisir Sabah disasarkan mampu menarik 3.79 juta pelancong dengan nilai pulangan sebanyak RM8.79 bilion. Sekiranya sempadan laut ini gagal dikawal selia dengan baik, negara bukan sahaja kehilangan potensi pendapatan tersebut, malah terus terdedah kepada kerugian besar akibat jenayah maritim. Buktinya, aktiviti perikanan haram, tidak dilapor dan tidak dikawal (IUU) telah menyebabkan negara kehilangan sekitar 1.4 juta tan metrik hasil laut, yang bersamaan dengan ketirisan hasil pendapatan sebanyak RM8 bilion setiap tahun.

Geopolitik mutakhir: Pengajaran yang tidak boleh diabaikan

 

Melihat ke landskap geopolitik maritim serantau dan global yang berada pada tahap membimbangkan. Sebarang konflik pasti akan memberikan kesan kepada SLOC.
Konflik seperti yang berlaku di Laut Hitam (antara Rusia dan Ukraine) serta krisis di Laut Merah memberi pengajaran yang sangat bernilai.

Kita menyaksikan bagaimana sebuah negara tanpa tentera laut konvensional yang besar (Ukraine) mampu melumpuhkan armada saingan menggunakan dron permukaan laut (USV) asimetri yang murah namun berkuasa tinggi.

Di Laut Merah pula, penggunaan peluru berpandu anti-kapal dan dron oleh kumpulan pelaku bukan negara mendedahkan betapa rapuhnya kapal-kapal perang moden jika tidak dilengkapi dengan sistem pertahanan udara yang mampan.

Krisis di Selat Hormuz pula menunjukkan bagaimana satu laluan perairan yang sempit memberikan kesan jangka panjang kepada global.

Sudah tentu, perkara ini berlaku jauh dari Malaysia tetapi ini bukan bermakna negara akan terlepas daripada menerima kesan badai geopolitik global.

Laut China Selatan terus menjadi gelanggang persaingan kuasa besar antara Amerika Syarikat dan China. Tuntutan “Sembilan Garis Putus” (dan terkini sepuluh garis) oleh Beijing yang merangkumi hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk ZEE Malaysia di pesisir Sabah dan Sarawak, meletakkan TLDM di barisan hadapan sebuah titik panas global.

Sebagai sebuah negara pengamal diplomasi pertengahan (middle power), Malaysia mengambil pendekatan tidak berpihak. Namun, neutraliti tidak bermaksud kita boleh membiarkan perairan kita diceroboh tanpa bantahan.

Taktik “Zon Kelabu” (Grey Zone) yang sering digunakan oleh negara-negara asing seperti menghantar kapal agensi yang bersaiz lebih besar berbanding kapal perang kita, atau menggunakan militia maritim yang menyamar sebagai nelayan memerlukan tindak balas yang sangat berhati-hati namun tegas.

TLDM, bersama agensi keselamatan lain sering kali terpaksa ‘bermain catur’ di laut, membayangi kapal asing berhari-hari demi memastikan kedaulatan terpelihara tanpa mencetuskan konflik bersenjata yang terbuka.

Menjelang usia seabad lapan tahun dari sekarang, TLDM berada di persimpangan yang amat kritikal. Ulang tahun ke-92 ini bukanlah sekadar platform untuk memperingati penubuhannya, tetapi ianya satu detik muhasabah nasional.

Slogan “Sedia Berkorban” seharusnya bukan hanya dipikul oleh para perajurit laut yang sanggup berjuang demi negara, tetapi juga harus bergema di Parlimen dan di hati pembuat dasar, bahawa negara juga mesti ‘berkorban’ dengan melaburkan dana yang sewajarnya demi kelangsungan armada kita.

Pelan Transformasi Armada 15to5: Teras Keselamatan Masa Hadapan

Sebagai menterjemahkan keperluan strategik ini, TLDM telah merangka Pelan Transformasi Armada 15to5 yang menjadi teras pemodenan mutlak pasukannya. Melalui program ini, TLDM menyasarkan penstrukturan semula aset armadanya kepada lima kelas kapal utama yang merangkumi kumpulan kapal selam, kapal tempur pesisir (LCS), kapal peronda generasi baharu (PV), kapal misi pesisir (LMS), serta kumpulan kapal sokongan. Perkembangan pembangunan angkatan laut negara turut dipamerkan kepada umum menerusi penganjuran pameran Defence Services Asia (DSA) 2026 dengan membawa tema ‘#RMN15to5: Charting A Maritime Nation’s Future‘.

Pemodenan ini bukan sekadar keperluan operasi, tetapi ia adalah satu komitmen tegas TLDM dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara serta melindungi kepentingan ekonomi maritim Malaysia secara keseluruhannya. Berdasarkan asas strategik pertahanan laut, kelangsungan ekonomi negara amat bergantung kepada laluan perdagangan seperti Selat Melaka dan hasil pengeluaran minyak dan gas marin. Kerjasama strategik dan sokongan yang utuh daripada kematangan industri pertahanan diperlukan bagi memastikan pertahanan maritim negara kekal mampan dalam menghadapi cabaran keselamatan masa kini dan seiring dengan perkembangan teknologi.

“Kita wujud kerana armada.” Frasa ini membawa erti yang sangat mendalam. Tanpa kapal-kapal yang siap siaga, TLDM akan kehilangan fungsinya.

Tanpa TLDM yang berwibawa, Malaysia akan terdedah kepada ancaman dari segenap penjuru lautannya. Kekayaan marin akan dijarah, pulau-pulau kita akan diancam, dan suara diplomasi kita di pentas antarabangsa akan hilang sengatnya.

Sebagai rakyat Malaysia, kita harus sedar bahawa keamanan yang kita nikmati di daratan juga dibayar dengan keringat kelasi-kelasi yang berjaga malam di tengah belantara gelombang, membayangi ancaman yang tidak kelihatan di kaca televisyen kita.

TLDM memerlukan sokongan menyeluruh, bukan sahaja dalam bentuk sorakan moral, tetapi dalam bentuk kemahuan politik (political will) untuk memodenkan armadanya. Dirgahayu TLDM ke-92. Kedaulatan negara, bermula dari samudera. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply