Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PRU15: PAS tegas tolak kerjasama dengan PH – Takiyuddin

PRU15: PAS tegas tolak kerjasama dengan PH – Takiyuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – PAS sekali lagi mengulangi pendirian untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dimuktamadkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat yang diadakan pada 29 Ogos, semalam.

Beliau menjelaskan, antara perkara lain yang dimuktamadkan dalam mesyuarat tersebut adalah PAS tetap mengutamakan konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional dalam setiap langkah serta pendirian politik PAS.

“PAS amat optimis pendekatan penyatuan ummah tersebut boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan bumiputra kerana ia adalah formula paling berkesan serta diterima oleh majoriti rakyat Malaysia,

“PAS secara tegas tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) mahupun mana-mana parti komponennya dalam menghadapi PRU15, termasuklah cadangan konsep ‘khemah besar’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu menambah, kerajaan negeri yang diteraju PAS juga tidak akan membubarkan Dewan-Dewan Undangan Negeri masing-masing lebih awal dari bulan Mac tahun hadapan.

Tegasnya, tindakan itu dibuat atas dasar pertimbangan untuk memberi penumpuan yang lebih perlu kepada aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat terutama dalam bidang perekonomian selain dari kesihatan.

Selain itu katanya, PAS juga mengambil pendekatan bersikap terbuka dalam mencari formula terbaik bagi mewujudkan kerjasama politik dengan pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU15.

“Keputusan itu diambil oleh PAS demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini,

“Perkara-perkara di atas akan turut diberikan tumpuan semasa Muktamar Tahunan PAS Ke-68 yang akan diadakan di Alor Setar, Kedah pada 3 dan 4 September 2022,” katanya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply