KUALA LUMPUR, 31 DIS – Kapal penyelidikan dan kapal pengawal pantai China (CCG) telah dikesan memasuki Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, khususnya di kawasan strategik yang kaya dengan sumber minyak serta gas seperti Beting Patinggi Ali, mencetuskan kebimbangan terhadap kedautan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun menegaskan, bahawa situasi keselamatan di Laut China Selatan kekal terkawal dan sehingga kini, tiada tindakan agresif dilakukan oleh pihak China terhadap Malaysia.
Situasi ini berbeza dengan insiden yang melibatkan negara jiran seperti Filipina dan Vietnam.
“Secara amnya, situasi keselamatan di Laut China Selatan adalah selamat dan terkawal. Perairan di Laut China Selatan kekal bebas dan terbuka kepada komuniti maritim,
“Walaupun kehadiran kapal China di perairan negara mencetuskan polemik, sehingga hari ini, mereka tidak melakukan sebarang tindakan agresif seperti yang berlaku di negara lain,” katanya dalam satu kenyataan bertulis di Dewan Negara pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Tan Sri Datuk Seri Panglima Anifah Aman yang menyatakan kebimbangan berhubung kawalan keselamatan sempadan Sabah, terutamanya di Laut China Selatan yang sering dicerobohi oleh kapal-kapal dari negara China.

Kapal penyelidikan China yang pernah di kesan berlegar-legar kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia. (Foto: X Inquirer)
Mengulas lanjut, Khaled Nordin berkata, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus memperkukuhkan rondaan dan pengawasan di kawasan perairan.
Ujar beliau, strategi memperagakan kehadiran (show of presence) telah dijalankan secara konsisten untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan wilayah negara kekal terjamin.
“TLDM telah melaksanakan pelan pembangunan keupayaan bagi meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi ancaman keselamatan, khususnya di perairan strategik seperti Laut China Selatan,
“Langkah ini bertujuan memastikan kesedaran domain maritim atau Maritime Domain Awareness (MDA) sentiasa berada pada tahap tertinggi serta kedaulatan Zon Maritim Malaysia (ZMM) terus terpelihara,” jelasnya lagi.
Selain itu, inisiatif diplomasi pertahanan turut diperkukuh melalui kerjasama di peringkat ASEAN dan platform antarabangsa seperti ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM) serta ADMM Plus bagi menangani isu-isu keselamatan maritim.
Terdahulu, China sebelum ini telah menuntut Malaysia menghentikan aktiviti minyak dan gas di beberapa blok utama di luar pesisir Sarawak, berhampiran kawasan Terumbu Karang Luconia Shoals.
China mendakwa bahawa kawasan Laut China Selatan, termasuk kawasan berkenaan, adalah sebahagian daripada wilayahnya berdasarkan peta Nine-Dash Line yang meliputi sebahagian besar perairan tersebut. -airtimes.my
#KeselamatanDanPertahanan #LautChinaSelatan #MINDEF #AirTimes