KUALA LUMPUR, 14 FEB – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menafikan sebarang penglibatan dalam pembayaran ganti rugi berjumlah RM479.72 juta oleh Boustead Naval Shipyard (BNS) kepada Contraves Advanced Dynamics (CAD) berikutan pembatalan kontrak dalam projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam penyataan jawapan lisan di Parlimen menegaskan, pembayaran tersebut tidak melibatkan dana kerajaan mahupun campur tangan kementeriannya.
“Sebagai makluman, proses pembayaran tersebut tidak melibatkan sebarang peruntukan kerajaan dan Kementerian Pertahanan tidak terlibat dalam sebarang urusan berkaitan dengan perkara ini,
“Ianya adalah spesifik berkaitan dengan Syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) dan Syarikat Contraves Advanced Dynamics (CAD) sahaja,” menurutnya pada Rabu.
Kenyataan itu dibuat sebagai jawapan penyataan lisan di Parlimen bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, yang mempersoalkan sumber kewangan yang digunakan BNS untuk membayar ganti rugi kepada CAD susulan penamatan kontrak.
Khaled berkata, penyelesaian kewangan antara BNS dan CAD hanya melibatkan kedua-dua syarikat tersebut tanpa sebarang keterlibatan kerajaan.
Terdahulu, saham BNS dipindahkan kepada Ocean Sunshine Bhd, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan, BNS dimiliki oleh Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), di mana majoriti sahamnya dipegang oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
LTAT merupakan tabung pelaburan yang mengurus kepentingan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sekali gus meletakkan MINDEF sebagai pihak yang mempunyai kepentingan dalam pengurusan dan keputusan kewangan BNS.

Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) telah dijenamakan semula kepada Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) (Foto: AirTimes)
Untuk rekod, projek LCS yang dianugerahkan kepada BNS pada 2011 bernilai RM9.128 bilion bertujuan membina enam kapal tempur bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Manakala, CAD dan CED adalah syarikat yang dilantik oleh BNS untuk membekalkan peralatan elektronik dan sistem tempur bagi kapal LCS.
Namun, selepas lebih sedekad, bukan sahaja tiada satu pun kapal berjaya disiapkan sepenuhnya walaupun hampir RM6 bilion telah dibelanjakan.
Pada tahun 2022, satu laporan audit forensik mendedahkan pelbagai kelemahan dalam pengurusan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang dikendalikan oleh BNS.
Antara pendedahan utama ialah pembayaran sebanyak RM23.37 juta kepada tiga syarikat untuk perkhidmatan teknikal berkaitan kapal peronda generasi kedua pada tahun 2011 dan 2012.
Pembayaran ini didakwa sebagai “dummy payments” kerana bukan sahaja perkhidmatan tersebut tidak wujud, malah syarikat-syarikat terbabit memberikan alamat palsu pada invois mereka.
Selain itu, terdapat juga isu berkaitan dengan surat anugerah (LOA) bertindih bernilai RM305 juta yang dikeluarkan kepada CED pada April 2012 untuk Pusat Teknologi Bersepadu Boustead (BIT).
Susulan pendedahan berkenaan, BNS bertindak menamatkan kontrak dan difailkan saman oleh CAD dan CED.
Namun, pada Januari 2025, kedua-dua syarikat secara sama bersetuju menarik balik saman mereka terhadap BNS selepas mencapai penyelesaian di luar kamar mahkamah.
Media melaporkan, BNS bersetuju membayar kira-kira RM464.33 juta kepada CAD sebagai penyelesaian untuk menamatkan pertikaian kontrak antara mereka. -airtimes.my
#MINDEF #Asetpertahanan #Keselamatandanpertahanan #Seleweng #AirTimes #LCS