Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Warga Medan Timur siap sedia perkukuh pertahanan Sabah dan Sarawak – Zamrose

Warga Medan Timur siap sedia perkukuh pertahanan Sabah dan Sarawak – Zamrose

by Air Times News Network

KOTA SAMARAHAN, 6 Dis – Panglima Medan Timur Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain berkata kesiapsaiagaan warga Medan Timur (PMT) Tentera Darat akan sentiasa diberi perhatian dalam usaha memastikan kedaulatan dan pertahanan negara terutama Sabah dan Sarawak berada pada tahap tertinggi.

Zamrose berkata, keupayaan, pemerkasaan imej juga meningkatkan keyakinan rakyat terhadap Tentera Darat khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia amnya sebagai tembok pertahanan negara sentiasa menjadi keutamaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perbarisan Perintah Ulung Panglima Medan Timur Tentera Darat di Padang Kawad Kem Muara Tuang di sini hari ini.

“Ia juga bagi mendukung aspirasi dan hasrat Panglima Angkatan Tentera dan Panglima Tentera Darat dalam memastikan kita menjadi sebuah angkatan dihormati dan disegani serta sentiasa bersiap siaga dalam memastikan keselamatan dan pertahanan negara ini berada dalam keadaan tertinggi,” katanya.

Pada masa sama Zamrose mahu perintah ulungnya itu dijadikan teras panduan dalam pengurusan pasukan dan warga tentera demi menjadi Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat sebuah ketumbukan yang dipercayai, cekap bertindak, dan mampu di atur gerakkan sebilang masa untuk mempertahankan kedaulatan tanah air .

“Saya juga menyeru seluruh warga tentera di bawah naungan Pemerintahan Timur untuk bersama memberi penekanan kepada rangkuman teras utama Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera dan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat iaitu angkatan profresional, ketumbukan siap siaga, keutuhan organisasi dan memperkasakan kualiti hidup dengan mengamalkan ASAS (Amal, Sistem Pemerintahan Renjimental, Adaptasi dan Siap siaga),” tegasnya.

Sehubungan itu, katanya, tentera darat merancang untuk mengadakan Latihan Medan Peringkat Briged di kedua-dua Pemerintahan Medan yang akan dilaksanakan serentak pada 2019 sebagai aktiviti utama Hari Ulang Tahun Tentera Darat.

“Di samping itu, selaras dengan tuntutan semasa, panduan strategik ‘TD Army 2 10+10’ akan digantikan dengan ‘Army 4 Next G’ menjurus kepada memperlengkapkan ketumbukan tentera darat di seluruh negara,” ujarnya.

Perbarisan hari ini juga disertai 162 pegawai dan 1516 anggota lain-lain pangkat daripada pasukan bawah naungan Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat.

Upacara perbarisan diketuai Pegawai Memerintah 4KAD Leftenan Kolonel Shamzaini Misran.

Related Articles

Leave a Reply