Pagi 31 Disember 1941, pertahanan British Batalion di Kampar buat pertama kali dihujani tembakan artileri Jepun.
Tentera-tentera Jepun yang mara telah mengatur gerakan meriam-meriam kaliber 75mm dan 105mm dari Malim Nawar-Kampar Road termasuklah meriam yang sebelumnya ditempatkan di jalan utama Kampar-Kuala Dipang.
Turut menyokong kemaraan ini ialah pasukan bersama meriam lebih kecil iaitu 37mm Type 94 dan 70mm Type 92. Kedua-dua persenjataan ini merupakan meriam bagi peringkat batalion.
Dalam pertempuran di Tanah Melayu, salah satu taktik tentera Jepun yang berkesan ialah penggunaan meriam kaliber kecil 70mm ini. Ia dikatakan sebagai antara senjata yang paling baik dimiliki pasukan infantri.
Meriam kecil dan kompak ini memberikan tembakan sokongan yang baik kepada batalion infantri khususnya.
Ini kerana pasukan yang sedang mara boleh mendapatkan tembakan bantuan langsung tanpa bergantung kepada unit artileri.
Semasa pertempuran di hutan, meriam ini membedil kedudukan musuh (tentera British) beberapa das sebelum berubah kedudukan.
Dengan bentuk mini berserta roda, ia mudah ditarik atau dibawa dari satu lokasi ke satu lokasi secara taktikal.
Senario pertempuran pada hari kedua di Kampar ini sepertimana diceritakan oleh sejarahwan dan pengkaji pertempuran tersebut, mendiang Chye Koon Leong dalam bukunya berjudul ‘The British Battalion In The Malaya Campaign 1941-1942’.
Buku yang diterbitkan pada tahun 1984 ini hasil penyelidikan tujuh tahun termasuk pengalaman menyaksikan sendiri pertempuran tersebut semasa berusia 11 tahun.
‘The British Battalion In The Malaya Campaign 1941-1942’ merupakan buku lengkap kerana mempunyai maklumat daripada kedua-dua belah pihak iaitu British dan Jepun.
Buku berkenaan kemudiannya dicetak semula pada tahun 2002 oleh Perbadanan Muzium dan Antikuiti Malaysia sebagai salah satu dokumen sejarah.

‘The British Battalion In The Malaya Campaign 1941-1942’ merupakan buku lengkap kerana mempunyai maklumat daripada kedua-dua belah pihak iaitu British dan Jepun.
Hasil penulisan mendiang ini masih menjadi rujukan dalam kalangan pengkaji termasuk pengkaji di luar negara.
Pertempuran Kampar yang melibatkan 1,500 tentera British dan India ini bermula pada awal pagi 30 Disember menentang 4,000 tentera musuh.
Ia mencatatkan sejarah penting semasa Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu apabila tentera Jepun buat pertama kali gagal menembusi pertahanan British dan terpaksa melawan habis-habisan.
Seramai 500 tentera Jepun terkorban sepanjang empat hari pertempuran tersebut manakala korban di pihak British kira-kira 150 orang.
Hari ini, tapak pertempuran yang terletak di tengah-tengah kesibukan jalan menuju ke Pekan Kampar itu masih ada.
Tiga tapak pertempuran ialah Green Ridge, Thompson Ridge dan Cemetery Ridge, malangnya Thompson Ridge telah lenyap yang kini dikenali sebagai Taman Kampar Jaya.
Green Ridge merupakan satu-satunya kawasan pertempuran Perang Dunia Kedua yang masih mempunyai kesan biarpun terbiar dalam belukar sejak 82 tahun lalu.
Mendiang Chye Koon Leong yang juga pesara guru menghabiskan usianya memperjuangkan usaha tersebut sehingga menutup mata pada tahun 2014 di usia 85 tahun.
Beliau mempelopori usaha menyelamatkan lokasi bersejarah itu dan mahu tapak pertempuran tersebut diselamatkan sebagai warisan negara.
Pertempuran Kampar merupakan antara subjek yang dikaji oleh pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia dan luar negara yang menyambung pengajian di Maktab Turus Angkatan Tentera.
Kampar dipertahankan oleh Divisyen Tentera India ke-11 yang berkekuatan kurang daripada sebuah briged.
Tunjang utama ialah Batalion British yang menggabungkan saki-baki 1st Batalion Royal Leicester Regiment dan 2nd Batalion The East Surrey Regiment.
Ini juga merupakan pertama kali dalam sejarah peperangan tentera darat British apabila dua buah batalion yang berbeza digabungkan menjadi sebuah pasukan.
Sepanjang tahun 90an hingga 2000, banyak pihak tampil serta memberikan sokongan terhadap usaha memulihara tapak bersejarah ini, termasuklah Kementerian Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Pelancongan ketika itu.

Tunjang utama ialah Batalion British yang menggabungkan saki-baki 1st Batalion Royal Leicester Regiment dan 2nd Batalion The East Surrey Regiment.
Juga kerajaan negeri Perak dan Muzium Angkatan Tentera.
Pada Julai 2020, Jabatan Warisan Negara telah meninjau ke tapak Green Ridge bagi melihat tinggalan fizikal seperti kubu serta melakukan kerja-kerja mengukur kesan serta struktur dan binaan yang masih ada.
Ia bagi tujuan dokumentasi disusuli rancangan mewartakan tapak sejarah berkenaan namun tiada kepastian mengenai perkara tersebut.
Bagaimana pun, tiada perkembangan selanjutnya selepas itu. Malang, usaha untuk menyelamatkan tapak ini bagi dijadikan lokasi warisan dan bersejarah sejak lebih 40 tahun nampaknya sukar.
Di Singapura, tapak lokasi bersejarah Perang Dunia Kedua di Bukit Candu serta beberapa lokasi lain dipulihara kerana nilai yang ada.
Malang, menjengah tahun 2025 nasib tapak Pertempuran Kampar kekal tidak dipedulikan.-airtimes.my