Home SemasaUAE tempah 10 pesawat C-390 Millennium

UAE tempah 10 pesawat C-390 Millennium

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

ABU DHABI, 5 MEI – Emiriah Arab Bersatu (UAE) menandatangani kontrak untuk memperoleh 10 pesawat angkut tentera C-390 Millennium keluaran Embraer, selain 10 lagi sebagai opsyen, bagi memperkukuh keupayaan angkut udara Tentera Udara dan Pertahanan Udara UAE.

Kontrak itu disaksikan Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan, Naib Presiden, Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Mahkamah Presiden UAE, ketika lawatan beliau ke reruai Tawazun Council for Defense Enablement sempena Make it in the Emirates 2026 di Abu Dhabi.

Menurut kenyataan Embraer, kontrak berkenaan ditandatangani oleh Setiausaha Agung Tawazun Council for Defense Enablement, Dr Nasser Humaid Al Nuaimi dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Embraer Defense & Security, Bosco da Costa Jr.

Perolehan itu diberikan kepada Embraer oleh Tawazun Council, entiti nasional yang berperanan membolehkan dan mengawal ekosistem industri pertahanan serta keselamatan UAE.

Embraer berkata, kontrak berkenaan menjadi pemilihan pertama C-390 Millennium di Timur Tengah dan tempahan antarabangsa terbesar setakat ini daripada satu negara bagi pesawat tersebut.

Pemilihan C-390 dibuat selepas proses analisis dan penilaian yang turut meliputi kempen ujian dalam persekitaran operasi UAE.

Pesawat itu akan digunakan untuk pelbagai misi, termasuk pengangkutan kargo dan anggota, operasi guguran udara, bantuan kemanusiaan, pemindahan perubatan, operasi dari landasan tidak berturap serta kerjasama operasi dengan aset nasional dan pasukan sekutu.

Generation 5 Holding dan Embraer Menandatangani Perjanjian Perkongsian Strategik Eksklusif untuk Program C-390 Milenium di UAE./Foto: Embraer 

“Kontrak ini meningkatkan keupayaan angkut udara tentera UAE, termasuk kesiapsiagaan dan kecekapan operasi, serta membolehkan Angkatan Tentera melaksanakan pelbagai misi dalam persekitaran operasi berbeza,” kata Nasser dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, pemilihan C-390 dibuat selepas penilaian teknikal dan operasi bagi memastikan prestasi, kebolehpercayaan serta integrasi dengan sistem sedia ada.

Bosco berkata, C-390 akan menyediakan Tentera Udara dan Pertahanan Udara UAE dengan keupayaan untuk melaksanakan pelbagai misi dalam tempoh jangka panjang.

Dalam perkembangan berkaitan, Embraer dan Generation 5 Holding menandatangani perjanjian perkongsian strategik eksklusif bagi program C-390 di UAE.

Perjanjian itu meliputi pembangunan keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), sokongan selepas jualan, latihan teknikal, latihan penyelenggaraan, latihan operasi serta peluang integrasi industri dan rantaian bekalan berkaitan pesawat berkenaan.

Menurut kenyataan berasingan, pelaksanaan penuh kerjasama itu masih tertakluk kepada penyelesaian beberapa syarat khusus yang sedang berjalan.

Embraer menyatakan C-390 boleh membawa muatan 26 tan dan terbang pada kelajuan 470 knot. Pesawat itu juga digunakan untuk misi mencari dan menyelamat, memadam kebakaran, bantuan kemanusiaan serta operasi di landasan sementara atau tidak berturap.

Related Articles

Leave a Reply