Home Pertahanan dan Keselamatan Program CIMIC: ATB 2 perkukuh hubungan dengan masyarakat Semporna

Program CIMIC: ATB 2 perkukuh hubungan dengan masyarakat Semporna

by Nurulhuda

SEMPORNA, 30 Dis – Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) meneruskan usaha memperkukuh hubungan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat melalui Program Civil-Military Cooperation (CIMIC).

Markas ATB 2 dalam kenyataan memaklumkan, selain memupuk semangat patriotisme dalam mempertahankan kedaulatan negara, program ini juga memberikan pendedahan berkenaan tugas dan peranan ATM kepada masyarakat setempat.

Menurutnya, usaha itu juga merupakan aspirasi yang telah dibawa di dalam Kertas Putih Pertahanan yang menggariskan bahawa keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama melibatkan semua lapisan masyarakat dan agensi kerajaan melalui prinsip ‘Whole of Government Whole of Society’ (WOGOS).

Program berkenaan telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tugas Bersama 2, Brigedier Jeneral Wan Edenin Wan Mahsin di Dataran Regatta Lepa Semporna, hari ini.

“Program ini adalah merupakan anjuran bersama Markas ATB 2 bersama Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan ATM yang turut melibatkan beberapa agensi-agensi keselamatan dan awam termasuk Pejabat serta Majlis Daerah Semporna,

“Objektif penganjuran adalah bagi mengeratkan hubungan antara tentera dan masyarakat awam terutamanya di daerah Semporna,” jelas kenyataan itu.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan, sumbangan sebanyak 500 barangan persekolahan telah diagihkan kepada sekolah di sekitar Semporna.

Selain itu, 70 penduduk menerima kotak rezeki sebagai tanda keprihatinan pihak ATM terhadap kesejahteraan komuniti.

Antara aktiviti menarik yang berlangsung ialah pameran medan, termasuk demonstrasi masakan rangsum tempur, pemasangan hammock, dan penggunaan Beg Full Service Marching Order (FSMO).

“Selain itu, program CIMIC ini juga memberikan peluang kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan pelbagai pendedahan berkenaan kerjaya dalam bidang ATM,

Turut hadir, Penolong Pegawai Pentadbiran Pejabat Daerah Semporna, Hafizul Hafiz Ladja Hassan; Ketua Staf Bahagian Operasi Laut ESSCOM, Laksamana Pertama (M) Abd Razak Mohamed; Pegawai Memerintah Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Akhwan Jamaludin serta Ketua-Ketua Jabatan Daerah Semporna.-airtimes.my

#pertahanan #ATB2 #Sabah #Malaysia #airtimes

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?