KUALA LUMPUR, 31 Dis – Pembinaan Pos Felda Selatan bernilai RM1.8 juta yang siap pada 27 September lepas dijangka mampu meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara di Sabah.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, pos baharu ini merupakan salah satu usaha kerajaan dalam meningkatkan keberkesanan operasi kawalan sempadan khususnya dalam menangani ancaman seperti penyeludupan barang dan pemerdagangan manusia.
“Di sebelah negara jiran, terdapat 16 pos keselamatan tentera di sepanjang sempadan. Kini, kita mempunyai 12 pos di Sabah termasuk Pos Felda Selatan ini. Selain itu, dua lagi pos-Pos Ladang Brantian dan Pos Tambulanan di Tawau sedang dalam proses pembinaan,
“Penambahan bilangan pos ini akan membolehkan kawasan tanggungjawab dapat dikawal dengan lebih efektif dan berkesan,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pos Felda Selatan di Kalabakan, pada Isnin.
Muhammad Hafizuddeain memaklumkan bahawa Pos Felda Selatan telah mula diduduki oleh satu platun unit operasi sejak 3 Disember lepas dan pos ini dilengkapi dengan blok pentadbiran, kediaman, stor dan kemudahan asas lain.
Ujarnya, selaras dengan transformasi Tentera Darat ke arah angkatan masa hadapan, pos ini turut dilengkapi dengan teknologi moden termasuk sistem komunikasi taktikal untuk integrasi operasi selain penggunaan sistem solar untuk bekalan elektrik.
“Kedudukan strategik pos ini, yang terletak 14 kilometer dari sempadan negara jiran, menjadikannya aset pertahanan kritikal. Ia juga berfungsi sebagai zon penampan yang melindungi komuniti setempat daripada sebarang ancaman,” katanya lagi.
Turut hadir, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mohd Sofi Md Lepi; Panglima 5 Div, Mej Jen Datuk Noorrul Azril Ariffin; Panglima 5 Div dan Mej Jen Datuk Noorrul Azril Ariffin.-airtimes.my
#TDM #airtimes #poskawalan #Sabah #pertahanan #Malaysia