LANGKAWI 21 MEI – Pembinaan baki dua kapal ronda pesisir (OPV) Maritim Malaysia (APMM) yang tertangguh sekian lama bakal dimulakan apabila kerajaan bersetuju meneruskan projek tersebut.
Limbungan perkapalan dari Sarawak, Shin Yang Shipyard Sdn Bhd diberi tanggungjawab itu untuk menyiapkan OPV 2 dan OPV 3.
Surat Hasrat (LOI) bagi penyiapan dua buah kapal itu dimeterai pada hari pertama LIMA 2025 dengan nilai projek mencecah RM298.5 juta.
Majlis yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi itu disaksikan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik bin Jeman
Hadir sama Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah.
Pada Januari lalu, OPV 1 yang diberi nama KM Tun Fatimah diserah kepada KDN oleh pihak TH Heavy Engineering Berhad (THHE).
Kapal OPV ini dibina menggunakan rekabentuk Damen 1800 berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter. Ia berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu 21 hari tanpa ulang bekal.
Reka bentuk kapal ini bakal menjadikan OPV berkemampuan menghadapi laut bergelora sehingga tahap Force 7.
Kapal ini juga mampu melaksanakan tugas-tugas seperti bantuan kemanusiaan, bertindak sebagai kapal logistik, kapal pemerintah, serta menjadi tempat penyimpanan Oil Pollution Equipment.
Kerajaan memeterai perjanjian dengan THHE Destiny pada 2017 untuk membekalkan tiga unit OPV pada kos RM740 juta untuk APMM dan kapal peronda itu dijadual diserahkan pada 2022.
Bagaimana pun masalah kewangan syarikat induknya THHE serta pandemik COVID-19 menyebabkan kerja pembinaan kapal tersebut di Pulau Indah tertangguh.
#AirTimes #Asetpertahanan #Malaysia #APMM #OPV