Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Eks Samudera Perkasa Timur medan kerjasama APMM, TLDM kuat kuasa undang-undang maritim

#Pertahanan: Eks Samudera Perkasa Timur medan kerjasama APMM, TLDM kuat kuasa undang-undang maritim

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 25 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus memperkasakan keupayaan kebolehoperasian bersama dalam melaksanakan penguatkuasakan undang-undang serta menjaga keselamatan maritim negara menerusi EKSESAIS SAMUDERA PERKASA TIMUR SIRI 1/ 2023.

Pihak APMM menjelaskan, eksesais yang berkonsepkan Field Training Exercise (FTX) ini menjadikan perairan Laut China Selatan sebagai lokasi bagi menguji keberkesanan prosedur tetap operasi bersama di antara APMM dan TLDM.

Menurut APMM, eksesais ini menyaksikan seramai 300 anggota termasuk pegawai dari APMM Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan serta Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur) memperhalusi pemahaman dalam latihan maritim secara inter-agensi terutama dalam penguatkuasaan undang-undang persekutuan pengoperasian maritim.

Ia turut memperkukuh kesiagaan kedua pasukan dengan menekankan kepentingan aspek komunikasi dalam pengoperasian bersama.

“Aset-aset yang terlibat mewakili APMM adalah KM ARAU, KM IKHLAS, KM TABAH, BOT KILAT manakala TLDM pula menampilkan KD KEDAH, KD BADIK dan Fast Combat Boat (FCB) bagi menjayakan eksesais ini,

“Turut mendukung kepada misi pengoperasian bersama, elemen pasukan elit kedua pasukan iaitu Pasukan Tindakan Khas & Penyelamat (STAR) dan Pasukan Khas Laut (PASKAL) turut dilibatkan,” jelas APMM menerusi hantaran di media sosialnya, hari ini.

Pengarah APMM Negeri Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik menjelaskan, dengan adanya penganjuran eksesais seperti ini khususnya di Wilayah Timur, ia memberi nilai tambah kepada keupayaan pengoperasian bersama (interoperability) dalam aspek penguatkuasaan undang-undang persekutuan serta pelaksanaan mencari dan menyelamat di laut (MSAR) di Zon Maritim Malaysia.

Beliau turut berpandangan, eksesais ini jelas mencapai objektifnya serta menzahirkan tentang kepentingan untuk eksesais seperti ini diteruskan bagi pengukuhan kerjasama kedua pasukan.

“Maritim Negeri Sabah & W.P Labuan menghargai peluang kerjasama yang diberikan kepimpinan Markas Pemerintahan Armada Timur, TLDM dalam menganjurkan eksesais siri ini secara bersama,

“Manfaat dan hasil positif yang diperolehi jelas dapat memantapkan kemahiran masing-masing di samping merancakkan pembangunan kapasiti di dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan perairan negara,” jelasnya lagi.

Terdahulu, fasa perlabuhan yang merangkumi pelbagai aktiviti perkongsian ilmu dan diskusi telah dijayakan di Kampus INTAN, Sabah serta Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

“Selain itu, Table Top Exercise (TTX) sebagai persediaan awal sebelum melaksanakan simulasi di laut turut terlaksanakan,

“Antara subjek eksesais yang menjadi fokus ialah navigasi, high risk visit, board, search, and seizure (VBSS), pengendalian dan gerakan taktikal, search and rescue exercise (SAREX),” tambah hantaran itu lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply