Home Semasa #Keselamatan: Latihan SAREX Tier uji kemahiran 33 agensi hadapi operasi CARILAMAT

#Keselamatan: Latihan SAREX Tier uji kemahiran 33 agensi hadapi operasi CARILAMAT

by Nurulhuda

KLANG, 26 Jul – Sebanyak 33 buah agensi terlibat dalam simulasi Search and Rescue Exercise (SAREX) Tier 3 yang dijalankan di kawasan perairan Pelabuhan Klang bermula 25 hingga 27 Julai lalu.

Latihan yang dikordinasikan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ini melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Balai Bomba dan Penyelamat (BOMBA) dan Northport.

SAR Coordinator MRSC Johor Bahru, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, latihan ini telah melibatkan seramai 200 orang pegawai dan anggota dari pelbagai agensi kerajaan sebagaimana yang terkandung dalam Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20 Bencana Maritim.

Beliau berkata, latihan ini bertujuan untuk menguji dan meningkatkan kemahiran serta kerjasama di antara agensi-agensi terlibat dalam operasi CARILAMAT.

Menurutnya, latihan ini turut melibatkan simulasi situasi bencana sebenar bagi meningkatkan kecekapan dan daya tindak dalam menghadapi kemungkinan kejadian seumpama ini.

“Latihan ini dilaksanakan seiring panduan Manual Mencari dan Menyelamat (SAR) Kebangsaan serta International Aeronautical and Maritime Searchand Rescue (IAMSAR) Malaysia Jilid IV,

“Kejayaan latihan ini akan menjadi tonggak bagi peningkatan kesediaan dan ketangkasan agensi-agensi yang terlibat dalam CARILAMAT dalam menghadapi cabaran dan tugas yang kompleks ketika bencana maritim berlaku di kawasan perairan negara,” jelasnya selepas menyaksikan simulasi SAREX Tier 3 di kawasan 0.6 Batu Nautika Barat Laut Tanjung Harapan pada Selasa.

Pihak APMM menjelaskan, Simulasi SAREX Tier 3 pada kali ini menjadikan senario sebuah feri yang membawa 30 penumpang dan 5 orang kru mengalami kebakaran di bilik jentera di perairan Tanjung Harapan.

“Dalam senario tersebut, terdapat penumpang telah terjun daripada feri dan berenang menuju sebuah rakit keselamatan di perairan Tanjung Harapan,

“Melalui insiden berkenaan, agensi yang terlibat dalam simulasi terbabit akan memainkan peranan masing-masing dengan mengambil tindakan sewajarnya ketika bencana berlaku,

“Simulasi berkenaan turut disaksikan oleh pemerhati dari luar yang terdiri daripada pegawai agensi keselamatan dan penguat kuasa serta pihak swasta yang berkaitan dan dapatan daripada simulasi berkenaan akan dibentangkan pada hari terakhir SAREX bagi tujuan penambahbaikan,” jelas APMM lagi.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply