Home Semasa #Semasa: Pingat Persekutuan khusus disyorkan untuk anggota penyelamat

#Semasa: Pingat Persekutuan khusus disyorkan untuk anggota penyelamat

by Bernama

PUTRAJAYA, 26 Jul – Kerajaan sedang meneliti syor untuk mewartakan pingat khidmat khusus anggota penyelamat yang terlibat dalam misi kemanusiaan sebagai Pingat Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Armizan berkata cadangan itu kini dalam proses semakan oleh Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Jabatan Perdana Menteri serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebelum dimuktamadkan.

“Sekarang syor sedang diteliti, cuma tiada garis masa (untuk diumumkan),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana , semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Feb lepas mencadangkan supaya semua petugas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang berkhidmat dalam misi menyelamat mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria diberikan elaun khas, sijil penghargaan serta pingat khidmat khusus sebagai menghargai pengorbanan serta komitmen petugas terlibat.

Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter telah melanda kawasan selatan Turkiye dan barat laut Syria pada 6 Feb lepas dan kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Seramai 248 anggota badan beruniform terdiri daripada Smart, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dianugerahkan pingat terbabit selepas Anwar, yang melawat sendiri lokasi kejadian di Turkiye, mencadangkan pengiktirafan itu.

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Khairul Azmi Jaafar, 38, menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas pengiktirafan yang diberikan.

“Misi Turkiye ini adalah misi pertama saya di luar negara dan saya amat berbangga kerana terpilih. Banyak perkara saya belajar ketika sertai misi tersebut,” katanya yang telah berkhidmat selama 11 tahun dengan JBPM. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply