Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Kes dera dalam kem askar diserah kepada polis – MINDEF

#Pertahanan: Kes dera dalam kem askar diserah kepada polis – MINDEF

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Jul – Kes dera secara fizikal yang didakwa berlaku ke atas beberapa anggota bawahan di sebuah kem di Sungai Petani, Kedah telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kementerian Pertahanan (MINDEF) berkata, pihaknya melalui Tentera Darat Malaysia (TDM) telah mengarahkan pasukan agar siasatan dalaman dibuat dan dipantau bagi mengenal pasti mereka terlibat dalam kes tersebut.

“Kes ini masih dalam siasatan lanjut pihak PDRM,

“Justeru masyarakat dinasihatkan ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” kata MINDEF dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas dakwaan sekumpulan individu yang didakwa didera secara fizikal di sebuah kem askar baru-baru ini.

Kejadian itu kali pertama dilaporkan berlaku pada 18 Julai lalu dan berlarutan beberapa hari.

Akibat kejadian itu, mereka yang dibuli didakwa mengalami kecederaan pada anggota badan.

Sehubungan itu, MINDEF berkata, pihaknya memandang serius mengenai isu dera dalam kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat serta terbukti bersalah sama ada secara langsung atau tidak.

“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap warga ATM sama ada individu atau mana-mana pihak yang sengaja mengeluarkan atau membuat dakwaan palsu sehingga boleh mencemarkan nama baik Kementerian Pertahanan,” jelas kenyataan itu lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply