Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan 2 kapal pindah minyak tanpa kebenaran di Tanjung Sedeli

APMM tahan 2 kapal pindah minyak tanpa kebenaran di Tanjung Sedeli

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 25 OKT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 2 buah kapal pengangkut minyak mentah (VLCC) asing, disyaki melakukan kegiatan pemindahan minyak tanpa kebenaran di perairan Johor Timur, pada Isnin.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki asing yang berdaftar dari Panama dan Honduras itu dikesan melakukan aktiviti ‘ship to ship’ pada kedudukan 32.1 batu nautika timur Tanjung Sedili pada 12.35 tengah hari.

Menurutnya, kapal dari Panama dikendalikan 26 kru berumur 23 hingga 54 tahun manakala kapal dari Honduras dikendalikan oleh 26 kru berusia 21 hingga 51 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati nakhoda kapal berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran atas aktiviti (pemindahan minyak) yang dijalankan,

“Kedua-dua mereka juga enggan memberikan kerjasama sehingga memaksa pihak APMM meminta bantuan daripada Bahagian Operasi Udara dan Pasukan Tindakan Khas menggunakan pesawat udara AS 365 Dauphin bagi melakukan force boarding sebelum berjaya ditahan pada 6 petang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jelas Nurul Hizam, kes disiasat di bawah Seksyen 491B (1) (K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B (1) (L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan semua kapal yang menjalankan aktiviti di perairan Johor Timur khususnya, agar mematuhi undang-undang bagi mengelakkan tindakan tegas diambil. -airtimes.my

#APMM #keselamatan #airtimes

Related Articles

Leave a Reply