KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membantah tindakan agensi penguatkuasa asing iaitu Singapore Police Coast Guard (SPCG) yang telah memasuki perairan Malaysia pada minggu lalu.
Dalam kejadian pada 14 Ogos itu, jaring pukat sebuah bot nelayan tempatan turut dilanggar dan tersangkut di bebaling bot penguat kuasa negara itu.
Pemangku Ketua Pengarah APMM, Laksamana Madya Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, nelayan terbabit telah membuat laporan polis tentang insiden yang berlaku di kedudukan 0.2 batu nautika di barat daya Tuas Checkpoint.
“Berdasarkan lokasi kejadian yang dilaporkan pengadu, APMM telah merujuk kepada pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi proses pengesahan insiden di atas Peta Baru Malaysia 1979,
“Pihak JUPEM mengesahkan lokasi kejadian yang dilaporkan oleh pengadu jelas berada di dalam perairan Laut Wilayah Malaysia berhampiran jambatan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua),
“Lokasi kejadian juga merupakan kawasan tradisi atau lokasi biasa bagi nelayan tempatan di Johor menangkap ikan dan menjaring udang,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Saiful Lizan menjelaskan, APMM berasa kecewa atas tindakan bot PCG terbabit yang dilihat bertindak melampau, mengganggu dan merosakkan peralatan nelayan tempatan selain menunjukkan sikap tidak menghormati kedaulatan maritim Malaysia.
“APMM akan membuat permohonan bantahan diplomatik agar kejadian yang serupa tidak berulang di masa hadapan demi memelihara hubungan baik kedua-dua buah negara,” ujarnya lagi.
Semalam, Pasukan Polis Singapura (SPF) menafikan dakwaan bahawa pegawai Polis Pengawal Pantai (PCG) republik itu memasuki perairan Malaysia dan menghalau nelayan negara ini yang sedang menangkap ikan pada Isnin lalu.
SPF dalam kenyataannya memaklumkan, dakwaan itu adalah tidak benar kerana insiden itu berlaku di perairan wilayah Singapura berdekatan Tuas.
Menurut SPF, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.55 pagi Isnin lalu ketika bot PCG sedang membuat kawalan di kawasan perairan negara itu.
Pada Rabu lalu, empat nelayan Kampung Pendas, Iskandar Puteri mendakwa pihak berkuasa Singapura melanggar dan merosakkan jaring mereka ketika sedang memasang jaring udang di kawasan perairan Selat Tebrau, pada pagi Isnin. -airtimes.my