Home Politik Kembali kepada prinsip asal perjuangan Islam – Abdul Hadi

Kembali kepada prinsip asal perjuangan Islam – Abdul Hadi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti dikatakan telah hadir menyatakan sokongan terhadap Proklamasi Orang Melayu dengan mengadakan pertemuan bersama pengasasnya iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perkara itu didedahkan pembantu bekas Ahli Parlimen Langkawi iaitu Abu Bakar Yahya melalui satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Menurut Abu Bakar, beberapa pemimpin parti dan juga Abdul Hadi mengadakan pertemuan bersama Tun Mahathir serta telah pun menandatangani proklamasi berkenaan.

“Beberapa pimpinan tertinggi PAS yang diketuai Abdul Hadi Awang telah pun menandatangani menyokong proklamasi bangsa Melayu di hadapan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya pada hantaran tersebut.

Sementara itu, di laman Facebook rasmi Proklamasi Orang Melayu, turut memuat naik mengenai pertemuan itu dan menyiarkan rakaman video respons ringkas Abdul Hadi.

Dalam rakaman video tersebut, Ahli Parlimen Marang itu menyifatkan sokongan yang diberikannya sebagai kembali kepada prinsip asal perjuangan Islam.

“Ini kita balik kepada prinsip asal perjuangan Islam itu sendiri, kalau kita baca al-Quran kita dapati Rasul memulakan perjuangan Islam walaupun untuk seluruh manusia. Tonggaknya pada bangsa dan kaumnya,

“Kerana perjuangan memerlukan tonggak bangsa baharu ada kekuatan, kalau tidak, tidak ada kekuatan. Bukan kita fanatik kaum, tetapi itu asas,” kata Abdul Hadi.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa dakwaan proklamasi tersebut bersifat perkauman adalah tidak benar.

“Saya rasa tak betul (perkauman), masa kita dah memerintah selepas merdeka dah berpuluh-puluh tahun tak pingirkan kaum lain.

“Kita terima hakikat yang ada itu, tetapi mesti menerima realiti Malaysia ini kaum asal dan majoriti orang Melayu, saya sokong,” katanya lagi.

Hadir sama dalam pertemuan itu Naib Presiden PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selain Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Proklamasi Orang Melayu yang diasaskan oleh Tun Mahathir telah melancarkan kempen secara dalam talian untuk mendapatkan sokongan orang ramai bagi menandatangani proklamasi berkenaan pada 27 Mac lalu.

Kempen tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada orang Melayu bahawa agenda perjuangan bangsa dan tanah air perlu diberi perhatian sewajarnya.

Sebelum ini, media melaporkan, penganjuran program dinamakan Proklamasi Melayu yang dijadual disertai bekas Perdana Menteri itu dibatalkan.

Susulan itu, Tun Mahathir mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan dalang di sebalik pembatalan tempahan penganjuran program itu.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply